TMJ rasmi TMIYC

PERASMIAN… Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) berkenan merasmikan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO),Southern Volunteers, di Hutan Bandar semalam. •Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam berkenan merasmikan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Southern Volunteers,di Hutan Bandar di sini, semalam.

Berangkat sama ke majlis berkenaan isteri baginda,Che’ Puan Khaleeda Bustamam.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Adib Azhari Daud.

TMIYC yang merupakan platform bagi komuniti belia menjalankan aktiviti rekreasi dan beriadah secara santai itu berkeluasan 6.07 hektar dengan menempatkan 11 kemudahan antaranya ‘Canopy Walk’,‘Youth Centre’,‘Mountain Bike Trails’, ‘Parkour Park’,‘Kiddo Ground’ serta ‘Skatepro’.

Hasni ketika berucap pada majlis berkenaan berkata,Kerajaan Johor sentiasa komited dalam usaha merangka dan melaksana pelbagai program bagi memperkasa golongan muda khususnya belia di negeri ini.

Beliau berkata, perasmian TMIYC semalam, merupakan langkah pertama bagi penubuhkan TMIYC di daerah lain di Johor.

Katanya, pembangunan TMIYC siap sepenuhnya pada Julai lepas dan ia diserahkan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) secara berperingkat,mulai 17 Disember.

“Di Johor terdapat lebih 1.5 juta orang muda yang berusia antara 14 hingga 39 tahun, Kita akan sentiasa membela, menyokong dan menyerlahkan bakat terbaik orang muda untuk negeri kita dan Malaysia.

“Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Johor 2021 telah memperuntukkan sebanyak RM57.3 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan dengan nadi orang muda Johor,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya akan mewujudkan sebuah pangkalan data belia Johor dengan peruntukan RM500,000 menerusi agenda Johor Digital.

Pangkalan data tersebut katanya, akan membekalkan maklumat komprehensif berkaitan golongan belia kepada pembuat dasar negeri.

Mengenai Southern Volunteers, Hasni berkata,ia mampu menjadi pemangkin pembentukan budaya kesukarelaan dalam kalangan Bangsa Johor.

Menurutnya , Southern Volunteers juga bakal menjadi gerakan besar-besaran di peringkat akar umbi dan menggalas tanggungjawab dalam menjalankan misi kemanusiaan membantu golongan memerlukan sama ada di peringkat akar umbi mahupun luar negara.- Bernama