Peluang jadi peneraju utama

SAKSI PENYERAHAN PROJEK… Willie Mongin (tengah) menyaksikan Penyerahan Sijil Projek Siap Fasa 1 Pusat Pengumpulan Biji Koko bagi Pusat Pemprosesan Biji Koko dan Coklat (PPBKC) antara Haya Ramba (dua, kiri) dengan wakil kontraktor (dua, kanan).

KOTA SAMARAHAN: Para pengusaha koko peringkat huluan di Sarawak kini berpeluang menjadi peneraju utama kepada perkembangan industri di negeri ini.

Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, Willie Mongin berkata, rakyat yang mempunyai tanah terbiar di kawasan SARA Cocoa Cluster digesa untuk merebut peluang mendapatkan skim yang ditawarkan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM).

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi membantu para petani dan pengusaha koko peringkat huluan melalui skim penanaman baru dan penyediaan input pertanian.

“Di bawah RMK-11 yang lalu, Kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM14 juta bagi tujuan pembangunan tanaman koko di kawasan kluster ini seperti Sebuyau, Kota Samarahan, Asajaya, Padawan, Tebedu dan Serian.

“Projek ini adalah merangkumi 525 hektar keluasan tanah dan melibatkan 526 petani termasuk pembangunan kompleks pemprosesan dan pembuatan coklat di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko (PPPK), LKM Kota Samarahan.

“Maka itu, SARA Cocoa Cluster telah mewujudkan koperasi bagi menjalankan sebahagian daripada aktiviti kluster ini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Peningkatan Kualiti Koko di PPPK LKM di sini, semalam.

Menurutnya, keahlian koperasi ini terbuka kepada mana-mana pengusaha tanaman, usahawan dan individu yang terlibat dengan industri koko dan coklat di Sarawak.

Ujar Willie, kementeriaanya berharap agar koperasi ini dapat mencapai matlamat ahli iaitu mendapat ganjaran hasil keuntungan khususnya daripada penjualan biji koko dan coklat.

Dalam majlis tersebut, Willie turut berkesempatan menyaksikan Penyerahan Sijil Projek Siap Fasa 1 Pusat Pengumpulan Biji Koko bagi Pusat Pemprosesan Biji Koko dan Coklat (PPBKC) kepada pihak LKM.

“PPBKC adalah sebahagian daripada komponen daripada SARA Cocoa Cluster, dan ini merupakan ‘game changer’ bagi peringkat huluan koko kerana ia dilaksanakan mengikut konsep ladang ke meja (farm to table),” jelas Willie lagi.

Upacara penyerahan ini telah dilakukan antara Pengarah Teknologi Huluan Koko LKM merangkap Pengerusi PPPK, Haya Ramba dengan wakil daripada pihak kontraktor.

Oleh AKMAL ADIB YUSUP