Pilihan raya wilayah uji keteguhan demokrasi

PERDANA Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha. • Foto AFP

NONTHABURI: Pengundi Thailand menunaikan tanggungjawab dalam pilihan raya wilayah semalam, yang juga ujian pertama terhadap amalan demokrasi negara itu sejak pilihan raya umum tahun lalu.

Ia juga menjadi pengukur pengaruh Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha, yang didakwa memanipulasi pilihan raya umum tahun lalu, sehingga mencetuskan tunjuk perasaan oleh golongan belia sejak beberapa bulan lalu.

Pilihan raya membabitkan 76 daerah di luar Bangkok itu juga adalah yang pertama sejak Prayut bergelut untuk mengekalkan kuasa selepas pilihan raya tahun lalu.

Pegawai pilihan raya memaklumkan, jumlah keluar mengundi yang baik walaupun lonjakan tertinggi kes harian Covid-19 dicatatkan semalam di daerah luar Bangkok.

Antara parti yang meletakkan calon dalam pilihan raya daerah termasuk Gerakan Progresif, yang berasas daripada Parti Gerakan Masa Depan diketuai Thanathorn Juangroongruangkit, yang kini diharamkan.

Thanathorn adalah antara pemimpin paling vokal menentang Prayut dan apabila beliau serta partinya diharamkan daripada politik, ia mencetus protes menggesa penyingkiran Prayut, pindaan perlembagaan serta reformasi monarki.

Pilihan raya wilayah kali ini juga menjadi ujian buat Parti Pheu Thai dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang juga parti terbesar dalam kalangan blok pembangkang dalam Parlimen Thailand.

Thaksin, yang jarang memberi komen secara umum sejak digulingkan pada 2006, mengeluarkan kenyataan di Twitter menggalakkan orang ramai menyokong parti itu menjelang pilihan raya wilayah.

Pentadbiran peringkat wilayah bertanggungjawab melaksanakan perkhidmatan kerajaan tempatan dan pelan pembangunan serta menguruskan sendiri belanjawan masing-masing. – AFP