Pemain ‘lagenda’ titik permulaan

PEMBAKAR SEMANGAT … Kehadiran bekas-bekas pemain lagenda Sarawak dan Malaysia yang beraksi semula di Stadium Mini Beladin semalam menjadi penanda aras kepada pembangunan bola sepak di kawasan Beladin.

KEHADIRAN beberapa pemain ‘lagenda’ bola sepak Sarawak dan Malaysia ke Daerah Kecil Beladin semalam, adalah menjadi satu titik permulaan untuk melahirkan lebih ramai pemain baharu sebagai pelapis untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurut Pengerusi Masjid Al-Amin Beladin, Zakaria Mos yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor kehadiran dua pemain lagenda bola sepak Bujang Senang dan Malaysia, Ramles Sari dan Ramos Sari ke Beladin adalah menjadi detik bersejarah sekali gus bertitik-tolak kepada pembangunan sukan bola sepak melibatkan golongan belia di Beladin.

“Sukan bola sepak di Beladin amnya, telah lama ‘tidur’ sejak tahun 80-an lagi, dan selepas 40 tahun, kini iaitu tahun 2020 bola sepak Beladin mula mengorak langkah untuk melahirkan lebih ramai pemain muda sebagai pelapis untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya begitu yakin dan percaya satu hari nanti daerah kecil Beladin akan melahirkan ramai pemain-pemain muda yang menyarung jersi pasukan Sarawak dan Malaysia amnya dalam sukan bola sepak, sekali gus mengharumkan nama DUN Beting Maro,” katanya.

Zakaria berkata pemain muda yang mewakili pasukan Saberkas Beladin, telah mendapat suntikan semangat apabila dengan kehadiran dua pemain lagenda bolasepak Bujang Senang dan Malaysia, Ramles Sari dan Ramos Sari yang telah beraksi semula dalam satu perlawanan persahabatan diantara pasukan Juara Liga Veteran Sri Aman 2020, Datus United menentang Beladin Veteran dekat Stadium Mini Beladin petang semalam.

Selain itu, katanya mereka turut melihat aksi bekas pemain Sarawak, Abang Yahya Abang Sulaiman (ketua pasukan) dan juga Rockeffller Sullau.

“Kehadiran bekas-bekas pemain lagenda Sarawak dan Malaysia ini yang beraksi semula di Stadium Mini Beladin semalam, menjadi penanda aras kepada pembangunan bola sepak di kawasan ini bagi melahirkan lebih ramai pelapis untuk diserapkan ke dalam pasukan negeri satu hari nanti.

“Diharap pemain-pemain muda di Beladin mengambil peluang ini dan menjadikan bekas pemain lagenda Sarawak dan Malaysia sebagai inspirasi atau idola mereka untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Dengan titik permulaan ini, kata Zakaria adalah menjadi satu impian dan harapan agar usaha ini berjaya mengangkat kegemilangan bola sepak di Beladin.

“Dan diharapkan dengan medium melalui Saberkas Beladin mampu membentuk pasukan yang mampu mengangkat kegemilangan bola sepak Beladin dan Daerah Pusa amnya,” tegas beliau.

Dalam pada itu, ketua pasukan Datus United, Abang Yahya Abang Sulaiman yang mewakili Pengurus pasukan, Awang Putra Yusri Awang Redzuan mengucapkan penghargaan terima kasih kepada wargaBeladin kerana sudi menjemput pasukannya untuk mengadakan aksi persahabatan dengan pasukan Beladin Veteran.

“Terima kasih warga Beladin, kerana sudi menjemput pasukan kami untuk mengadakan perlawanan persahabatan di sini semalam, layanan yang diberikan adalah yang terbaik. Terima kasih semua,” ujarnya sambil berharap dan mengalu-alukan pasukan Beladin Veteran bertandang ke Sri Aman selepas ini..

Oleh ADI SAFARMAN