Sarawak, China kongsi ilmu, penyelidikan Covid-19

DATUK Patinggi Abang Johari Tun Openg merasmikan Sidang Kemuncak Global Pertama Mengenai Terapi Virus-Imunologi dan Antivirus Covid-19 di UiTM Kampus Samarahan.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak bersama-sama dengan Universiti Perubatan Anhui China dan Persatuan Pendidikan dan Kebudayaan Asia China (ACEC) menganjurkan Sidang Kemuncak Global Pertama Mengenai Terapi Virus-Imunologi dan Antivirus Covid-19, baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ia adalah edisi khas Persidangan Antarabangsa Sains dan Teknologi Inovatif untuk Penyelidikan dan Pendidikan (InnoSTRE). 

Persidangan hibrid ini menawarkan para peserta pilihan sama ada untuk menghadiri dan terlibat dalam interaksi bersemuka atau menggunakan platform pertemuan dalam talian untuk membentangkan dan berkongsi hasil penyelidikan mereka. 

Objektif utama persidangan ini adalah untuk peserta tempatan dan antarabangsa dari ahli akademik dan industri untuk menyampaikan pengetahuan mereka yang berwibawa dan hasil penyelidikan terkini yang berkaitan dengan Covid-19.

 Menurut penasihat persidangan merangkap Rektor UiTM Sarawak, Profesor  Dato Dr Jamil  Hamali, ini adalah antara persidangan hibrid pertama di Malaysia yang menyediakan platform maya dan fizikal untuk membincangkan inovasi baru  ini dalam perkembangan sains dan teknologi dalam menangani cabaran pandemik Covid-19.

 Ketika upacara perasmian, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg  turut melancarkan dua pusat penyelidikan iaitu Pusat Penyelidikan Produk Halal dan Pusat Penyelidikan Herba dan Etnomedikal. 

Pusat Penyelidikan Produk Halal adalah kerjasama antara UiTM Sarawak, Universiti Beijing Wuzi dan ACEC  sementara Pusat Penyelidikan Herba dan Etnomedikal adalah kerjasama antara UiTM Sarawak, Universiti Perubatan Anhui China dan ACEC.

Persidangan dua hari itu menampilkan ceramah utama oleh lapan tokoh terkenal dari Malaysia dan luar negara. 

Lebih daripada 80 makalah juga akan dibentangkan oleh peserta antarabangsa dan tempatan dalam beberapa sesi selari. 

Selain daripada itu, turut diadakan perbincangan Forum Perniagaan dan Pendidikan Antarabangsa dan Penyelidikan Ubat dan Penemuan Ubat pada kedua persidangan.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM,  Emeritus Prof Datuk Dr Mohd Azraai Kassim menekankan bahawa dalam menghadapi krisis Covid-19 yang tidak mengenal sempadan, adalah penting universiti terus terlibat dan bekerjasama dengan universiti dan industri antarabangsa. 

“Kerjasama dengan universiti yang sudah mapan, kita dapat belajar dengan lebih cepat dan juga menjalin pakatan yang dalam menghadapi krisis masa depan, akan memungkinkan untuk melakukan tindakan dengan cara yang terkoordinasi dan lebih efisien, terutama dalam berkongsi sumber dan penyelesaian teknologi,” katanya.

Untuk persidangan edisi khas tahun ini, beliau turut menekankan perlunya mewujudkan jaringan yang lebih kuat dengan nilai luar biasa kerana dunia menantikan inovasi terkini dalam perkembangan sains dan teknologi yang dapat membantu semua manusia menghadapi cabaran pasca Covid-19 dengan mudah dan yakin.

“Adalah besar harapan kami bahawa persidangan hibrid secara khusus akan mempercepat penyelidikan dalam mencari vaksin dan ubat yang sesuai,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu bahawa, UITM selalu menjadi penyokong semangat rancangan kerajaan untuk memanfaatkan peluang untuk membawa nilai yang lebih besar kepada pelbagai komuniti baik dari segi ekonomi dan sosial.

Oleh NUR AIN OTSMAN