Jurulatih dikekalkan…

CEO PSS…Dr Ong Kong Swee.

FAIZAL BUJANG

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (PSS), Dr Ong Kong Swee mengakui, khidmat jurulatih sedia ada yang terlibat dalam pembentukan pasukan untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 masih dikekalkan sehingga berlangsung temasya berprestij negara yang dijadual bermula 6 hingga 14 Mac 2021.

Pun tegas Dr Ong, jurulatih terbabit tidak boleh mengambil mudah tugas mereka kerana pihaknya akan memantau prestasi dari semasa ke semasa.

“Proses penilaian prestasi jurulatih terbabit akan dilakukan dan dilaksanakan Pegawai Pembangunan Sukan, Ketua Unit Pembangunan Sukan serta Unit Prestasi Tinggi yang diketuai Andre Richard bersama Ahmad Rodzli Hashim (Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan PSS).

“Sekiranya tidak menepati atau mengikut Prosedur Operasi Standart (SOP) ditetapkan, besar kemungkinan khidmat jurulatih terbabit tidak dilanjutkan,” ujar Dr Ong ketika mengulas mengenai perkara itu.

Apa pun Dr Ong percaya himpunan jurulatih yang telah dipilih serta diberi mandat membentuk pasukan untuk menghadapi Sukma XX Johor 2020 kelak antara yang terbaik.

Dengan erti kata lain kata Dr Ong, berupaya membentuk barisan atlet terbaik sekali gus menghadir keputusan positif sebagai mana diinginkan.

“Kita percaya barisan jurulatih yang telah dipilih antara terbaik serta mempunyai reputasi hebat dalam membentuk kredibiliti pada setiap atlet,” tambah beliau lagi.