TTB B dinobat Raja Libas Simanggang

REGU TTB B ditabal sebagai Raja Libas Simanggang 2020 apabila muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Cabaran Libas Simanggang dalam aksi final yang berlangsung di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman semalam.

Dalam perlawanan akhir itu, regu TTB B yang menurunkan regu terkuat tidak menghadapi masalah untuk membenam regu Project FT dengan memenangi kedua-dua set 21-17 dan 21-15 pada saingan berlangsung dengan penuh aksi yang penuh mendebarkan.

Justeru, kemenangan tersebut membolehkan regu TTB B berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, piala iringan beserta medal, manakala regu Project FT yang muncul naib juara menerima hadiah wang tunai sebanyak RM700, piala iringan dan medal.

Sementara itu, regu Masimo 83 dan LA Distrixx pula berada di tempat ketiga bersama apabila mereka masing-masing tewas pada aksi separuh akhir.

Oleh itu, kedua-dua regu terbabit membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300 dan medal ditempat ketiga.

Terdahulu, anugerah khas kepada pemain apit kanan TTB B, Jenua dipilih sebagai Raja Libas, anugerah apit kiri terbaik pula dianugerahkan kepada pemain Dilaxy Ace66, Alexius Inggang.

Tekong terbaik pula dianuge- rahkan kepada pemain TTB B, Alpaje Remigius dan anugerah Pemain Paling Veteran adalah pemain daripada regu TSKA, Abang Ahmad Abang Suhailie.

Sebanyak 32 buah regu telah berentap pada Kejohanan Sepak Takraw Cabaran Raja Libas Simanggang 2020 yang bermula pada 18 Disember lalu dan berakhir semalam.

Kejohanan itu dianjurkan oleh Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman (PESTASA) dengan kerjasama Kelab Sepak Takraw Simanggang (KERAS) dan Keme- nterian Belia dan Sukan Sarawak Bahagian Sri Aman.

Kesemua hadiah pemenang disampaikan oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Jaya Awang dan Presiden Kelab Sepak Takraw Simanggang, Awang Putra Yusri Awang Redzuan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan, Zaidil Ripin, AMT PSS, Jaffary Idris dan Bujang Hosen serta Rafidah Morshidi mewakili Pegawai Penguasa, Pejabat Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, Bahagian Sri Aman.

Oleh ADI SAFARMAN