Rayuan BKSS: 120,000 penerima diluluskan

PENYERAHAN… Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyampaikan sumbangan BKSS kepada wakil agensi pada Majlis Penyerahan Bantuan BKSS B40 Rayuan di Majma Mall, Kuching semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO.

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan sebanyak RM92 juta untuk Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) kepada 120,000 penerima di sini, semalam.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah menerima maklum balas daripada pelbagai pihak dan mendapati banyak keluarga B40 dan golongan bujang belum menerima BKSS.

“Ini disebabkan mereka tidak disenaraikan di dalam senarai yang ada di Jabatan Cukai Pendapatan.

“Kita kasihan kepada mereka yang belum lagi menerima bantuan di bawah BKSS 4.0 ini. Oleh itu, saya telah membuat keputusan bahawa mereka juga patut menerima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 2020 di Bangunan Majma Mall, Tunku Abdul Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini, semalam.

Tambah Abang Johari, Kerajaan Sarawak telah membelanjakan sebanyak RM2.55 bilion untuk BKSS untuk memberi manfaat kepada para penerima termasuk mereka di barisan hadapan dan juga keluarga daripada B40 dan golongan bujang.

“Kerajaan kita sedaya upaya untuk meringankan beban kewangan yang dihadapi masyarakat ketika menghadapi pandemik ini.

“Memang Kerajaan Pusat ada pendekatan tersendiri untuk meringankan beban rakyat melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN), namun Kerajaan Sarawak juga mengambil keadaan ini sebagai peristiwa yang harus kita bantu kerana banyak kalangan masyarakat yang terjejas kehidupannya disebabkan oleh pandemik Covid-19 ini.

“Alhamdulillah! Semua ini telah selesai, kerajaan telah meluluskan sebanyak RM92 juta untuk BKSS dan ini bermakna semua rakyat menerima bantuan semasa pandemik  serta bantuan lain yang dihulurkan kerajaan,” katanya.

Turut hadir, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Mohamad Abu Bakar dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Oleh JEAKQLEYN YACHO