44 NGO terima dana

KENANGAN… Datuk Abdul Rahman Junaidi bergambar bersama 22 wakil pertubuhan ketika
sesi penyampaian dana di Pusat Khidmat PBB Cawangan Pantai Damai, Kuching, semalam

KUCHING: Sebanyak 44 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerima dana aktiviti dan pengurusan bernilai RM 145,800 sebagai sokongan terhadap usaha menjalankan program kemasyarakatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai, semalam.

Dana tersebut disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Abdul Rahman Junaidi yang diadakan di Pusat Khidmat PBB Cawangan Pantai Damai di Jalan Haji Taha di sini.

Majlis penyampaian dibahagikan kepada dua sesi bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) disediakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Di Jabatan Ketua menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) berharap dana tersebut dapat membantu pengurusan dan ahli NGO dan agensi yang terlibat dalam meneruskan aktiviti di kawasan Pantai Damai.

“Ini sekali gus mengajak masyarakat menjalankan aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada komuniti untuk mengurangkan gejala sosial.

“Kita juga menggalakkan masyarakat di kawasan Pantai Damai bekerjasama dengan pihak yang terlibat bagi mengendalikan aktiviti di sana,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran aktiviti pelbagai idea juga dapat dikongsikan bagi meningkatkan kemajuan dari segi sosioekonomi, pendidikan, pembentukan sahsiah, sukan dan lain-lain.

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan jabatan, NGO, dan agensi lain untuk turut serta menganjurkan aktiviti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.

Beliau juga mengingatkan wakil pertubuhan supaya sentiasa berwaspada ketika pandemik Covid-19 dan mematuhi SOP ditetapkan JPBNS sekiranya menganjurkan aktiviti.

“Saya sentiasa meninjau keadaan semasa di kawasan dan berharap dapat menyalurkan lebih banyak dana bagi membantu mereka yang terkesan di kawasan saya,” ujarnya.

Oleh ASYRAF HALIM