Ketua kaum ‘jambatan’ antara rakyat , kerajaan

PRIHATIN… Dato’ Sri Tiong King Sing beramah mesra dengan penduduk di rumah panjang bagi mendengar keluhan rakyat.

SIBU: Ketua Kaum berperanan penting sebagai ‘jambatan’ antara rakyat dan kerajaan, menurut Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Dato Sri Tiong King Sing.

Katanya, Selain berperanan untuk mengemukakan permintaan dan cadangan kepada kerajaan, Ketua Kaum juga adalah antara penghubung dan masyarakat di setiap kawasan dan kampung.

“Oleh itu, pemimpin politik harus memberi sokongan dan bantuan kepada pihak terbabit sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk menyampaikan suara rakyat.

“Saya merasa terkilan kerana terdapat aduan daripada ketua kaum yang menyatakan mereka dihimpit oleh pemimpin politik parti tertentu yang mempunyai kuasa untuk menyokong salah satu parti politik dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), termasuk menolak untuk mengeluarkan sijil pelantikan ketua kaum.

“Kita sepatutnya menjadikan Bintulu sebagai contoh yang mana pemberian sijil lantikan bukan berdasarkan pilihan peribadi,” katanya ketika meneruskan lawatan ke lapan lagi rumah panjang di kawasan Dudong, semalam.

Beliau yang juga merupakan  Duta Khas Perdana Menteri ke China bertaraf menteri mengingatkan beberapa pemimpin politik untuk menang undi dengan prestasi mereka dalam melayani rakyat.

“Sesiapa yang ingin menjadi calon tetapi hanya mendekati rakyat atau muncul apabila menjelang pilihan raya sahaja menunjukan mereka tidak ikhlas membantu rakyat sebenarnya.

“Budaya politik ini bukan sahaja tidak sihat, malah akan terus berkembang jika dibiarkan. Apa yang kita mahukan adalah pembangunan jangka panjang dan stabil,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tiong juga berharap agar penduduk rumah panjang akan terus saling membantu dan bekerjasama rapat dengan pemimpin masyarakat.

“Kita harus sentiasa berhubung dan berkomunikasi serta berunding terutamanya apabila menghadapi masalah. Sebarang pertengkaran dan salah faham hanya akan menyebabkan penghuni di rumah panjang berpecah-belah.

“Kita harus bekerjasama dalam membina masyarakat yang bersatu padu dan harmoni,” tegasnya.

Oleh NURZILLA MOHAMAD