Kuntau, seni pertahanan diri kaum Iban

SEMANGAT… Pelatih bersemangat dan penuh motivasi diri.

RENCANA: Seni pertahanan diri merupakan satu kaedah yang wujud bagi seseorang mempertahankan diri daripada serangan musuh. Ia merupakan kaedah berlawan secara tradisi dengan atau tanpa menggunakan senjata.

Pada zaman dahulu, adalah menjadi satu amalan setiap orang terutamanya kaum lelaki harus mempelajari dan mempunyai ilmu pertahanan diri.

Boleh dikatakan hampir setiap negara mempunyai seni pertahanan diri yang berkembang hasil cetusan tempatan atau diubah suai daripada seni bela diri luar yang meresap masuk seterusnya menjadi budaya sesuatu kaum atau masyarakat.

Bagi masyakat Iban khususnya yang mendiami Kepulauan Borneo amnya dan Sarawak khususnya, turut memiliki seni pertahanan diri yang dinamakan Kuntau.

Untuk itu, pihak Utusan Sarawak berkesempatan merungkai seni pertahanan diri itu bersama Pengasas Kelab Kuntau Sinding Ujan Panas (SUP) 48 Sarawak, Guru Fedrick Tutong Banyan.

Menurutnya, kuntau merupakan seni mempertahankan diri yang dinama khas dari bahasa kebudayaan Dayak yang diwarisi turun-temurun seperti seni mempertahankan diri lain yang diwarisi salasilah pengasasnya seperti taekwando, aikido, silat dan sebagainya.

“Pembelajaran Kuntau Sinding Ujan Panas (SUP) 48 ajar diajar khusus berdasarkan nama ini dan secara amnya, seorang pengamal kuntau akan diajar pergerakan angan dan kaki secara sistematik”   

“Pelatih akan diajar prinsip asas kuntau sebelum mempelajari peringkat jurus,” katanya.

Peringkat jurus merupakan peringkat kehalusan dan ketepatan pergerakan bagi tujuan serang balas yang berkesan ke atas sasaran yang boleh melemahkan lawan.

“Latihan Kuntau SUP 48 dimulakan dengan membaca doa berdasarkan kepercayaan dan agama masing-masing meminta agar dijauhkan segala baya dan ilmu yang dipelajari juga diberkati,” ujarnya.

Selepas melakukan aktiviti pemanasan badan, guru akan menunjukkan jurus berdasarkan peringkat yang dipelajari.

Biasanya para pelatih kuntau akan berlajar bunga kuntau untuk sesuatu peringkat selama dua hingga tiga minggu bergantung kepada tahap pemahaman mereka.

Seterusnya, tambah beliau, dalam masa yang sama, para pelatih kuntau akan diajar teknik menumbuk dan menendang serta menangkis.

“Pergerakan menyerang hanya akan diajar setelah para pelatih kuntau berjaya menghafal dan memahami gerakan bunga kuntau serta berjaya menguasai teknik tumbukan, tendangan dan tangkisan,”  

“Para pelatih kuntau juga didedahkan dengan titik-titik bahaya pada tubuh badan manusia,” katanya.

Jelas Fedrick, kesemua gerakan yang dipelajari adalah bertujuan adalah bertujuan untuk membentuk kemahiran membuat serang balas.

“Serangan yang dibuat tanpa menggunakan kaedah yang betul mudah dipatahkan dan kuntau SUP 48 mempunyai lima peringkat yang, mana setiap peringkat mempunyai jurus, bunga, serangan maut, buah pukulan (tangan kosong tanpa senjata), tangkapan kunci mati (tangan kosong tanpa senjata),” katanya.

Peringkat tersebut ialah peringkat Spring Tisis, Betawi, Spring Gua, Sinding Ujang Panas dan penghabisan adalah Juguar.

Setiap ahli kuntau perlu mempelajari Kuntau SUP 48 dari peringkat Spring Tisis terlebih dahulu dan diikuti oleh peringkat seterusnya.

Walaupun begitu, kriteria utama yang perlu dipatuhi selain mahir dalam jurus yang dipelajari ialah disiplin, budi pekerti yang luhur serta nilai-nilai murni seperti yang termaktub dalam objektif SUP 48.

Pelatih yang melanggar peraturan serta objektif SUP 48 berhak untuk dikeluarkan dan tidak akan meneruskan latihan mereka.

Para belatih kuntau juga memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun untuk benar-benar memahami corak serang balas, ketangkasan dalam menangkis serangan kerana serangan balas yang paling berkesan dan bahaya dalam Kuntau SUP 48 disebabkan gabungan lima jenis peringkat yang diajar dalam Kuntau SUP 48.

Oleh ELLIE EDWRD