Fighting Bees juarai Futsal Wanita KASUS Tasik Biru

PASUKAN Fighting Bees muncul juara Pertandingan Futsal Wanita bersempena Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Cawangan Tasik Biru dekat sini kelmarin.

Gelaran juara itu menyaksikan Fighting Bees membawa pulang hadiah wang tunai RM500 beserta piala iringan dan medal.

Tempat kedua dimenangi BP FT manakala Sis FT dan Bisaga United muncul pemenang tempat ketiga dan keempat.

Pemenang tempat kedua menerima RM400, piala iringan dan medal, manakala pemenang tempat ketiga iaitu Sis FT berjaya membawa hadiah wang tunai sebanyak RM300, piala beserta medal dan Bisaga United hanya membawa pulang piala iringan dan medal sahaja.

Sebanyak lapan buah pasukan wanita sekitar Daerah Bau telah menghantar penyertaan pada kejohanan yang telah berlangsung di Gelanggang Futsal Redeems Singai Bau.

Kesemua hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pegawai Daerah Bau, Aneilia Siam.

Dalam pada itu, menurut jurucakap Saberkas Tasik Biru, sambutan bagi pertandingan kali ini amat menggalakkan berikutan jumlah pasukan wanita yang mengambil bahagian menunjukkan peningkatan.

Objektif pertandingan ialah mencungkil bakat-bakat baru dan salah satu cara untuk menyemai sukan futsal dalam kalangan wanita di daerah ini.

Oleh Adi Safarman