RM8 juta untuk keperluan asas mangsa banjir

DATUK Seri Rina Mohd Harun (kiri) bertanyakan sesuatu kepada mangsa banjir ketika meninjau ke Daerah Raub pada Isnin lepas.• Foto BERNAMA

KUANTAN: Sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi menampung pelbagai keperluan asas mangsa banjir termasuk makanan kering,tilam, selimut dan bantal di lapan depoh seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Daripada jumlah itu, Rina berkata RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan itu di Pahang, yang setakat 1.00 tengah hari semalam merekodkan jumlah mangsa seramai 10,739 orang daripada 3,319 keluarga yang ditempatkan di 201 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah.

“Mangsa dan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengamalkan norma baharu seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang berada di PPS,” katanya.

Rina berkata demikian menerusi kenyataan media selepas melawat mangsa banjir di tiga PPS sekitar Raub kira-kira 161 kilometer dari sini semalam iaitu PPS Dewan Kampung Pia, Masjid Kampung Temau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kundang Patah dengan diiringi Pengarah JKM Pahang Zulkhairi Zainol Abidin.

Setakat 1.00 tengah semalam,berdasarkan portal Info Bencana JKM enam negeri dilanda banjir iaitu Pahang, Johor, Selangor,Perak, Kelantan dan Terengganu melibatkan mangsa seramai 20,093 orang daripada 5,779
keluarga yang ditempatkan di 284 PPS.– Bernama