Buah mentega tidak digemari serangga

BUAH mentega yang masak tidak ubah seperti telur kuning rebus.

Mungkin ramai yang belum pernah merasa buah Mentega kerana jarang sekali ia dijual di mana-mana berbanding buah-buahan tempatan yang lain. Malah tidak ramai yang menanamnya mungkin disebabkan asalnya adalah pokok hutan dan kepentingan utama adalah batangnya untuk dijadikan sebagai bahan kayu ukiran.

Buah mentega atau Egg Fruit atau Pouteria Campechiana berwarna kehijauan ketika masih mentah tetapi bertukar kekuningan apabila masak. Isinya berwarna kuning terang dan mempunyai biji yang agak besar di dalamnya.

Struktur isinya lembut seperti kuning telur rebus , mempunyai sedikit bau yang agak pelik bagi sesetengah orang  dan rasanya manis enak.

Menariknya, buah ini tidak disukai oleh serangga atau burung, mungkin kerananya baunya.  Disebabkan tiada gangguan inilah maka proses percambahannya tidak meluas dan ia tidak tumbuh melata seperti pokok buah-buahan lain.

Pokok ini dikatakan berasal dari Mexico tetapi di Asia, ia dikatakan berasal dari Filipina.  Sejauh mana kebenarannya, tidak dapat dipastikan kerana tiada bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

Menurut seorang penjual buah mentega yang ditemui di Medan Niaga Satok, beliau mendapat benih buah ini dari negara jiran Brunei dan menanamnya kerana melihat tidak ramai orang Sarawak yang menanam pokok ini.

Buahnya pula terdapat dua jenis iaitu bulat dan bujur tetapi rasanya tetap sama. 

“Saya tanam dari bijinya dan ia mengambil masa lebih lima tahun untuk berbuah” katanya yang hanya memperkenalkan diri sebagai Apin.

Katanya, buah ini mempunyai kandungan serat yang tinggi dan apabila masak, buahnya akan merekah dengan sendiri.  Justeru ia tidak dapat disimpan lama kerana bahagian yang merekah akan ditumbuhi fungus.

Selain buah mentega yang berwarna kekuningan, di Sarawak juga terdapat juga buah mentega yang berkulit warna merah terang dengan struktur seperti baldu tetapi isinya berwarna keputihan.

Biasanya buah mentega dimakan selepas strukturnya berubah menjadi lembut tetapi ada juga yang memakannya ketika ia masih mentah kerana ia rangup seperti epal.

Meskipun tidak terbukti kebenarannya tetapi ramai yang mendakwa pokok dan buah mentega ini mempunyai khasiat untuk mencegah tekanan darah tinggi, penyakit hati,  kencing manis, batuk, demam, ceret-beret, kulit badan gatal dan banyak lagi.

Oleh HAINI DARANI