Benteng penahan ombak dibina di Pantai Lutong

BAHAYA…Keadaan jalan raya akibat hakisan yang berlaku di Pantai Lutong di Miri, baru-baru ini.

MIRI: Susulan hakisan teruk di Pantai Lutong di sini, benteng penahan ombak sepanjang 185 meter kini dibina di pantai berkenaan.

Pembinaan benteng tersebut yang menelan kos RM369,000 kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka akan siap dalam tempoh tiga hingga empat minggu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata, baru-baru ini Pantai Lutong menghadapi hakisan sangat serius akibat pukulan ombak sehingga air laut melimpah ke jalan manakala batang kayu berselerak di atas jalan raya sehingga menghalang laluan.

Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya mengambil langkah segera iaitu membina benteng penahan ombak untuk menahan air laut melimpah ke jalan raya.

“Langkah awal ini adalah satu tindakan sementera supaya hakisan yang berlaku di pantai ini dapat dikawal terlebih dahulu,”katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja pembinaan benteng berkenaan di Pantai Lutong,semalam.

Kerja pembinaan benteng tersebut dilakukan oleh dua agensi iaitu Jabatan Kerja Raya Bahagian Miri dan Jabatan Pengairan dan Saliran Kim Shin berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran mempunyai perancangan jangka panjang yang tetap iaitu bercadang untuk membina lapisan pelindung batu seperti yang telah dibina di Jalan Pesisir Lutong-Kuala Baram sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan berikutan kerja pembinaan benteng sedang dilaksanakan selain keadaan jalan tersebut yang berpasir dan berlopak.

Turut hadir, Jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Miri, Chong Chi Fam dan Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Miri, Hidayati Ismail.

Oleh LIONG CHAI LING