Pelbagai inisiatif bangunkan pendidikan di Kuala Rajang

KAWASAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang amat bertuah kerana mempunyai wakil rakyat yang sering menyumbangkan pelbagai sumbangan kepada rakyat di kawasan tersebut. 

Antara bantuan yang sering disumbangkan setiap tahun ialah sumbangan pendidikan kepada pelajar di kawasan Kuala Rajang. 

Pendidikan memainkan peranan yang teramat penting dalam mengubah nasib seorang individu, keluarga, masyarakat, bangsa atau negara. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh berkata, atas kesedaran inilah Kerajaan Sarawak tidak boleh bertolak ansur melaksanakan pelbagai inisiatif dalam pembangunan pendidikan di Sarawak.

Jelasnya, sumbangan menerusi Dana Pendidikan Pusat Khidmat Sarikei dan Tanjung Manis telah disampaikan kepada seramai 178 pelajar pada tahun 2020. 

“Jumlah keseluruhan sumbangan pendidikan tersebut pada tahun lalu adalah sebanyak RM71,700.

“Sejak tahun 2011 hingga 2019 pula, sejumlah RM528,900 telah diagihkan kepada seramai 1,253 orang pelajar kawasan Kuala Rajang,” kata beliau kepada Stail.

Datu Len yang juga merupakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar berkata, sumbangan dana ini adalah bertujuan meringankan beban keluarga pelajar. 

“Tahun 2019 sahaja sebanyak RM32,200 disumbangkan kepada seramai 80 pelajar yang cemerlang dan melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

“Pelajar menerima sebanyak RM400 bagi yang melanjutkan pengajian peringkat diploma, RM500 (ijazah) dan RM300 (pengajian jangka pendek selama enam bulan atau lebih),” katanya. 

Katanya, sebahagian besar mereka dari keluarga berpendapatan rendah serta sederhana yang memerlukan suntikan kewangan untuk melanjutkan pelajaran.

“Berdasarkan pengalaman sendiri yang pernah bergelar pelajar dan datang dari keluarga miskin, saya sedar mereka berdepan masalah melanjutkan pengajian kerana perlu menanggung kos seperti penerbangan, yuran pendaftaran dan sara hidup.

“Walaupun jumlahnya tidak banyak namun pastinya bantuan ini melegakan pelajar dan ibu bapa mereka,” katanya lagi. 

Sehubungan itu katanya, untuk rekod, jumlah sumbangan adalah sebanyak RM10,600 untuk 25 orang pelajar pada 2011, RM27,300 (68 pelajar, 2012), RM47,700 (106 pelajar, 2013), RM107,700 (249 pelajar, 2014), RM60,400 (138 pelajar, 2015), RM74,900 (190 pelajar, 2016), RM102,600 (241 pelajar, 2017), RM65,500 (156 pelajar, 2018) dan RM32,200 (80 pelajar, 2019).

“Bidang pendidikan dalam kalangan generasi muda khususnya di DUN  Kuala Rajang terus mendapat keutamaan sejajar dengan hasrat melahirkan modal insan berkualiti selain memastikan mereka menikmati kehidupan lebih terjamin pada masa depan.

“Inisiatif ini merupakan salah satu komitmen saya bagi membantu pelajar cemerlang dan kurang bernasib baik untuk mendaftar di IPT sekaligus membela nasib mereka melalui pendidikan.

“Saya sangat mengambil berat soal pendidikan dalam kalangan generasi muda di DUN  Kuala Rajang,” jelasnya lagi. 

Ujar beliau lagi, kriteria pemberian tertakluk kepada penerimaan pelajar IPTA dan IPTS yang diiktiraf oleh kerajaan dan tidak berdasarkan pencapaian jumlah gred di samping berasal dari DUN  Kuala Rajang.

“Melalui pendidikan, mereka dapat keluar dari kepompong kemiskinan dan berpeluang menikmati kehidupan lebih baik. 

“Justeru, saya sentiasa memberikan keutamaan terutamanya dari aspek peruntukan dan perbelanjaan.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan ibu bapa terus melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin bagi memajukan anak-anak dalam bidang pelajaran,” katanya. 

Dalam pada itu, kata Datu Len, dana ini membuktikan kerajaan amat mengambilberat masalah rakyat di samping tidak mahu mereka ketinggalan dalam arus pembangunan. 

Oleh EARL ANEK