Bola sepak, ragbi Perancis digantung

SEBUAH keluarga di Perancis melihat Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, berucap di TV, di Hede-Bazouges, barat Perancis pada 28 April 2020, ketika dia menyampaikan rancangan kerajaan untuk keluar daripada situasi ‘lockdown’ di Majlis Nasional Perancis di Paris. – AFP

LIGA sukan profesional Perancis termasuk bola sepak dan ragbi tidak dapat dimulakan semula sebelum September kerana sekatan Covid-19, kata Perdana Menteri, Edouard Philippe semalam.

Philippe membuat pengumuman itu sebagai bagian daripada rancangan beransur-ansur untuk menamatkan ‘lockdown’ di Perancis. Dia berkata tiada acara di mana lebih daripada 5,000 orang berkumpul tidak akan dibenarkan sehingga sekurang-kurangnya September.

“Liga sukan profesional 2019-2020, terutama bola sepak, belum dapat dimulakan kembali,” kata Philippe dalam ucapan kepada parlimen Perancis di Majlis Nasional.

“Saya ingin lebih tepat di sini, tidak ada perhimpunan sukan besar atau perhimpunan 5,000 orang atau lebih, yang memerlukan kebenaran polis tempatan dan penganjuran lama, akan diizinkan sebelum September,” kata Philippe.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron dua minggu yang lalu berkata bahawa tidak akan diadakan perhimpunan besar sebelum pertengahan bulan Julai, jadi pengumuman baru ini melanjutkan larangan itu sekurang-kurangnya enam minggu lagi.

Pengumuman itu nampaknya membatalkan rancangan divisyen teratas bola sepak Ligue 1 Perancis untuk dimulakan semula pada bulan Jun dengan pemain dipanggil semula pada 11 Mei.

Jumaat lalu, Liga Bolasepak Perancis (LFP) membayangkan pilihan mereka adalah menyambungkan semula liga pada pertengahan Jun dengan syarat ia mengetahui syarat-syarat pelonggaran langkah-langkah pengurungan.

Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Noel Le Graet berharap final Piala Perancis dan Piala Liga dapat dimainkan sebelum musim liga dimulakan semula, pada bila-bila masa. – AFP