Rimong Crocs United tidak patah semangat

SKUAD Rimong Crocs United mahu bangkit daripada kekalahan apabila berdepan dengan pasukan Azam FC, Sabtu ini.

KEKALAHAN pada perlawanan pembukaan menentang pasukan PC United, Sabtu lalu sama sekali tidak mematahkan semangat perjuangan skuad Rimong Crocs United untuk berhadapan Azam FC pada 9 Januari (Sabtu) ini.

Pengurus pasukan, Raymond Lori berkata semangat juang para pemain tetap tinggi dan beliau yakin Rimong Crocs mampu bangkit dalam pertemuan dengan Azam FC pada perlawanan kedua peringkat kumpulan A kempen Liga Sri Aman 2021.

“Semua sedih kekalahan ini, tapi ianya suatu pengajaran bagi kami pada masa akan datang. Pemain diharapkan dapat bangkit secepat mungkin untuk fokus pada aksi kedua menentang Azam FC, Sabtu ini,” ujar beliau.

Kata Raymond, kesemua pemainnya sudah cuba yang terbaik sepanjang perlawanan terutamanya di babak kedua namun terpaksa akur dengan keputusan tersebut apabila ‘dibaham’ oleh pasukan PC United 4-0.

“Memang cukup kecewa dengan kekalahan perlawanan tersebut, dalam keadaan deretan peluang untuk menjaringkan gol. Inilah bola sepak… sebanyak mana pun peluang dimiliki, jika gagal disempurnakan tidak akan membawa makna,” ujarnya.

Bagaimanapun tambah Raymond, beliau percaya masih ada sinar buat pemain untuk bangkit dari lamunan dengan syarat mereka perlu lebih bersemangat.

Beliau juga yakin pemain juga telah menyedari kesilapan masing-masing dan menuntut agar mereka bangkit dengan mempamerkan persembahan yang lebih baik.

“Saya berharap para pemain akan melupakan kekalahan lalu dan kembali fokus untuk memburu kemenangan pada perlawanan akan datang,” tegasnya.

Raymond menarik perhatian bahawa berdasarkan prestasi pemain dalam perlawanan menentang PC United Sabtu lalu, beliau optimis Rimong Crocs mampu melakukan kejutan sekaligus bangkit untuk mencipta kemenangan sulung.

Oleh ADI SAFARMAN