RST juarai Futsal MZJ CUP

JUARA LELAKIā€¦ RST muncul juara Pertandingan Futsal MZJ CUP by Cafe Inc kategori lelaki yang berlangsung di King Sports Miri semalam.

PASUKAN RST berjaya merangkul gelaran juara pada Pertandingan Futsal MZJ CUP by Cafe Inc bagi kategori lelaki yang telah berlangsung di King Sports Miri semalam.

Dalam perlawanan akhir itu, RST yang rata-rata membarisi pemain bintang itu membelasah Deli FC dengan jaringan 5-0.

Dengan kejuaraan itu, RST berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, piala iringan dan medal, manakala pasukan Deli FC selaku naib juara pulang dengan hadiah wang tunai sebanyak RM1,200 beserta piala iringan dan medal.

BBNU berada di tempat ketiga sekali gus membawa hadiah wang tunai sebanyak RM800 berserta piala.

Sementara itu, bagi kategori wanita pula RBL berjaya meraih juara bagi merebut Hannah Futsal Challenge selepas menewaskan AQAZ, 2-1 melalui penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada aksi perlawanan akhir.

Dengan kejuaraan itu, RBL berjaya membawa hadiah wang tunai sebanyak RM700, piala juara dan medal.

Manakala AQAZ yang berada di tempat kedua membawa hadiah wang tunai sebanyak RM500, piala serta medal, dan pasukan F10 yang berada ditempat ketiga membawa hadiah wang tunai sebanyak RM300.

Terdahulu, anugerah khas pemain terbaik bagi kategori lelaki dianugerahkan kepada pemain pasukan RST, Azlan Shah, penjaga gol terbaik, Willy (IMJ FT) dan anugerah pasukan terbaik kepada Deli FC.

Anugerah khas pemain terbaik bagi kategori wanita dianugerahkan kepada pemain pemainRBL, Nursalina, penjaga gol terbaik, Clarity Kemp (RBL) dan anugerah pasukan terbaik kategori wanita kepada pasukan GKLO.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Restoran Cafe Inc itu telah disertai sebanyak 36 pasukan lelaki dan 10 pasukan wanita.

Dalam pada itu, wakil penganjur, Shah Izuandi Mahdi berkata, pertandingan yang diadakan itu adalah sebagai memperingati jasa Allahyarham Mohd Zaifulfadilah Junaidi iaitu bekas Presiden Bola sepak Bahagian Bintulu merangkap Pengurus Pasukan Futsall Sarawak United yang telah menghembuskan nafas terakhir pada 12 Disember 2020 lalu.

Beliau berkata, inisiatif meneruskan lagi usaha Allahyarham, Restoran Cafe Inc akan cuba untuk memajukan dan memeriahkan lagi sukan futsal di Sarawak, khususnya di Bahagian Miri dan Bintulu.

“Kami juga berharap selepas ini penganjuran yang akan kami adakan akan mendapat sambutan serta mendapat sokongan daripada semua bagi mengangkat bakat-bakat anak tempatan dan memartabatkan sukan futsal negeri Sarawak, amnya,” ujarnya.

Pada majlis, pihak Cafe Inc yang diwakili Shah Izuandi dan Nazrul Hassan wakil dari pemain-pemain futsal Bahagian Miri telah menyampaikan sumbangan hasil kutipan derma dan hasil jualan amal T-shirt ‘Bang Bro’ daripada  Moh Addin Production, Samarahan kepada anak-anak Allahyarham.

Kesemua hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Shah Izuandi yang mewakili pemilk Cafe Inc, Hannah Qhairannna Puyang Hii, serta wakil penganjur bersama Mohd Amierul Kana.

Oleh ADI SAFARMAN