PENERBANGAN DIKURANGKAN

DIKURANGKAN… Penerbangan ke Sibu dan Miri dikurangkan berikutan kekurangan jumlah bilik untuk kuarantin.

SIBU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah memutuskan untuk mengurangkan kekerapan penerbangan ke Sibu dan Miri pada 5 Januari lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata, ia adalah berikutan jumlah bilik hotel yang terhad untuk tujuan kuarantin dan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Maklumat terkini mengenai jadual penerbangan yang diluluskan oleh JPBN Sarawak dihebahkan kepada orang ramai melalui media sosial terlebih dahulu.

“Ini supaya orang ramai mengetahui perubahan jadual penerbangan untuk merancang perjalanan mereka dalam tempoh pandemik yang mencabar di negeri ini,”jelasnya dalam satu kenyataan,semalam.

Lee berkata, kementeriannya juga telah menulis surat kepada MAS, AirAsia dan Maswings pada 5 Januari lalu mengenai penerbangan diluluskan seperti yang ditunjukkan dalam jadual yang dilampirkan.

“Jadual baharu akan berkuatkuasa pada Sabtu iaitu 9 Januari ini.

“Namun, untuk penerbangan AirAsia dari Johor Baharu ke Sibu, penerbangan terakhir adalah pada Sabtu iaitu 9 Januari ini.

“Selepas itu, tidak akan ada lagi penerbangan dari Johor ke Sibu sehingga diberitahu kelak.

“Jadual penerbangan baharu untuk Sibu dan Miri seperti yang ditunjukkan dalam jadual akan berkuat kuasa mulai Sabtu 9 Januari ini,” ujarnya.

Beliau menjelaskan perincian mengenai jadual penerbangan terkini ke Sibu dan Miri yang diluluskan oleh JPBN Sarawak ditunjukkan pada jadual.

Dalam merancang keseluruhan jadual penerbangan, Lee memberitahu, setiap syarikat penerbangan diberi waktu penerbangan yang berbeza untuk membantu syarikat penerbangan mendapatkan penumpang untuk penerbangan mereka.

“Saya ingin mengingatkan semua syarikat penerbangan agar hanya menjual tiket penerbangan mengikut jadual penerbangan yang diluluskan oleh JPBN Sarawak.

“Ini penting untuk memberikan perkhidmatan penerbangan yang boleh dipercayai kepada orang ramai di negeri ini,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyarankan orang ramai untuk menempah atau membeli tiket penerbangan berdasarkan jadual penerbangan terbaru yang disetujui JPBN Sarawak.

“Syarikat penerbangan diingatkan untuk tidak membatalkan penerbangan pada minit terakhir yang telah disetujui oleh JPBN Sarawak untuk mengelakkan sebarang kesulitan daripada orang ramai,” tambahnya.