Sarawak catat 14 kes positif semalam

SIDANG MEDIA … Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika sidang media harian kes Covid-19 di Dewan Undangan Negeri Lama, Kuching semalam.

KUCHING: Sarawak mencatatkan 14 kes positif Covid-19 semalam dan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,180 kes.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah dalam kenyataan media semalam berkata, pertambahan kes positif Covid-19 itu dikesan di Daerah Kuching (7), Sibu (3), Sri Aman (2), Miri (1) dan Pusa (1).

“Di Kuching, kes 1167 adalah seorang lelaki warga tempatan yang baru balik dari negara Emirates Arab Bersatu (UAE) pada 3 Januari 2021 melalui Dubai dan sampai di Kuching pada 4 Januari 2021.

“Kes telah menjalani ujian saringan RTK Antigen di KLIA-1 dan keputusan ujian adalah negatif.

“Semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kes telah dibawa ke pusat kuarantin untuk menjalani arahan kuarantin wajib selama 10 hari dan telah menjalani saringan Covid-19 pada 5 Januari 2021 dan didapati positif pada 6 Januari 2021.

“Kes 1168, 1169, 1170, 1178 dan 1179 adalah lima warga tempatan yang telah dikesan melalui aktiviti pengesanan kes kepada individu yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19,” jelas beliau dalam satu sidang media, di Kuching, semalam.

Mengulas lanjut, Uggah menyatakan bahawa Kes 1174 merupakan seorang lelaki warga tempatan yang telah mendapatkan rawatan di hospital swasta di Kuching pada 3 Januari 2021 dan telah dirujuk dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk saringan kali ke-2 dan didapati positif pada 6 Januari 2021.

“Di Sibu, Kes 1171 merupakan seorang wanita warga tempatan yang balik dari Johor. Kes ini adalah seorang pekerja di Singapura dan telah diberikan arahan kuarantin di rumah selama 14 hari. Keputusan ujian rT-PCR kes didapati positif pada 6 Januari 2021.

“Kes 1172 adalah warga tempatan (Selangor) dan telah balik ke Shah Alam, Selangor untuk bercuti. Kes telah berada di Selangor sejak 19 Disember 2020 dan balik semula ke Sibu, Sarawak pada 4 Januari 2021.

“Kes ini telah tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 4 Januari 2021 dan telah diberi arahan kuarantin di rumah dan dipakaikan gelang. Kes menjalani saringan Covid-19 dan ujian rT-PCR dan didapati positif pada 6 Januari 2021,” tambahnya.

Dalam pada itu, Uggah turut memaklumkan bahawa Kes 1175 merupakan seorang wanita warga tempatan yang telah pulang ke Sarawak sebelum meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Sibu pada hari yang sama.

“Di Pusa, Kes 1173 merupakan seorang wanita warga tempatan (Sarawak) yang telah balik dari Johor. Setibanya di Lapangan Terbang Sibu, kes telah menjalani saringan Covid-19 dan diberikan arahan kuarantin di rumah selama 14 hari serta telah dipakaikan gelang. Ujian saringan yang dijalankan pada 04 Januari 2021 telah didapati positif pada 6 Januari 2021.

“Manakala di Miri, Kes 1176 adalah seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) yang telah dikesan melalui aktiviti pengesanan kes yang melibatkan kluster Bah Sayap. Kes adalah rakan yang mempunyai kontak kepada kes 1,116,” katanya.

Selain itu, Uggah memaklumkan bahawa di Sri Aman, Kes 1177 dan 1,180 adalah dua orang warga tempatan (Sarawak) yang telah disaring Covid-19 kerana mempunyai tanda dan gejala jangkitan Covid-19.

“Kedua-dua kes ini telah menerima rawatan di klinik kesihatan kerajaan di Daerah Sri Aman pada 6 Januari 2021 dan keputusan didapati positif pada 7 Januari 2021,” katanya.

Oleh RYNNA SHA’ERRA