PM prihatin kebajikan, masalah rakyat – Hanifah

KENANGAN… Dato Hanifah Hajar Taib merakam gambar bersama penerima geran PMR kawasan Parlimen, Mukah.

MUKAH: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pemimpin yang prihatin terhadap kebajikan dan masalah rakyat sejak beliau memimpin negara, ujar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal
Ehwal Sabah dan Sarawak), Dato Hanifah Hajar Taib.

“Kita sedia maklum, Perdana Menteri sangat prihatin terhadap rakyat terutama ketika kita menghadapi krisis pandemik Covid-19 yang bukan hanya melanda negara,malah seluruh dunia,” katanya.

Ujar beliau, Muhyiddin tidak sibuk untuk berpolitik sebaliknya memberi fokus lebih kepada rakyat dan pentadbiran negara.

Hanifah berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi kawasan Parlimen Mukah di sini, semalam.

Ujarnya, penyerahan geran itu juga menunjukkan kebajikan dan pemasalahan rakyat didahulukan dan tetap dijaga oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri.

Menyentuh mengenai Covid-19, beliau menggesa penduduk tempatan untuk bersama-sama menjaga dan mengekalkan keadaan semasa di kawasan Mukah yang masih di kategorikan Zon Hijau dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Ujarnya, keadaan krisis itu bertambah buruk yang mana di seluruh dunia kini mencecah 84 juta kes dan memerlukan tindakan tegas di negara terbabit.

“Kita di Sarawak dan Mukah khasnya bersyukur kerana situasi kita masih baik dan terkawal.

“Marilah kita bersama mengekalkan suasana itu dengan mematuhi SOP yang ditetapkan,” tambahnya.

Terdahulu, geran PMR yang merupakan Fasa 4 itu disampaikan kepada 40 penerima yang mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), rumah ibadat,Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kelab
dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain.