Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang Peruntukan lebih RM1.154 bilion

ALEXANDRA LORNA

KUCHING:Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan 16 pendekatan melalui Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang yang melibatkan lebih RM1.154 billion bagi mengurangkan beban rakyat Sarawak dalam menghadapi situasi pandemik Covid-19.

Beliau berkata pakej tersebut melibatkan perbelanjaan langsung oleh Kerajaan Sarawak sebanyak RM974.75 juta untuk mengurangkan kesan kelembapan ekonomi dan mengurangkan beban rakyat Sarawak. 

“Ini ditambah pula dengan penangguhan pembayaran balik pinjaman, pengecualian bayaran dan diskaun perkhidmatan asas Kerajaan Sarawak sebanyak RM179.79 juta bagi tahun 2020,” katanya pada Sidang Media Khas COVID-19 -Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang di Wisma Bapa Malaysia semalam.

Beliau menambah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang adalah model bantuan yang seimbang bagi rakyat dan perniagaan yang terkesan terhadap kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19. 

“Antara pendekatan yang diambil adalah Bantuan Khas Sarawakku Sayang, yang melibatkan 430,000 orang dari kategori berpendapatan rendah, kumpulan B40 akan diberi bayaran bulanan sebanyak RM250 untuk 6 bulan (April hingga September 2020) 

“Pendekatan ini akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak sebanyak RM645 juta,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Sarawak turut memberikan insentif bulanan khas bagi kakitangan barisan hadapan yang terlibat dengan Covid-19.

“Kerajaan Sarawak menghormati pengorbanan dan komitmen peribadi kakitangan barisan hadapan yang secara langsung terdedah kepada risiko koronavirus semasa menjalankan tugas mereka dalam menguruskan wabak di Sarawak. 

“Kerajaan Sarawak akan menyediakan insentif bulanan khas selama 6 bulan iaitu RM300 kepada 6,232 doktor perubatan, jururawat dan kakitangan perubatan yang bekerja keras di hospital dan klinik di seluruh Sarawak.

“Insetif ini juga melibatkan RM200 sebulan kepada 535 Pegawai Imigresen yang menguruskan pintu masuk ke seluruh Sarawak dan RM200 sebulan kepada 3,395 pegawai PDRM dan pegawai Bilik Gerakan Negeri yang bekerja sepanjang masa untuk memastikan keselamatan dan keselamatan rakyat Sarawak.

“RM200 sebulan juga akan diberi kepada seramai 590 pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengendalikan sempadan dan membantu polis dalam mengekalkan undang-undang dipatuhi dan ketenteraman terjaga dan 590 kakitangan RELA yang bekerja sepanjang masa untuk memastikan keselamatan kawasan kejiranan,” katanya sambil menambah pendekatan ini menelan belanja sejumlah RM17.35 juta yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak.

Beliau berkata pada masa yang sama, ini adalah usaha berterusan kerajaan Sarawak untuk menggerakkan ekonomi Sarawak ke arah negara maju menjelang 2030.

“Kerajaan GPS Sarawak adalah kerajaan yang prihatin dan kami berada di sini untuk bersama dengan orang ramai terutama yang terkesan dengan pandemik ini, terutamanya peniaga, penjaja, peniaga pasar malam dan vendor, serta pengendali pasar Tamu dan bazar Ramadhan,” jelas beliau.

Abang Johari terdahulu berkata pakej tersebut memberi tumpuan untuk mengurangkan kesan Covid-19 dan melindungi kesejahteraan rakyat Sarawak melalui 16 pendekatan proaktif disasarkan kepada kakitangan barisan hadapan, isi rumah dan komuniti perniagaan yang pada masa ini memerlukan sokongan paling banyak.

Menjawab soalan mengenai pengagihan bantuan khas Sarawakku Sayang kepada golongan berpendapatan rendah dan B40, beliau berkata agihan akan dibuat berdasarkan senarai yang disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengikuti modal sistem bantuan sara hidup.

“Bantuan ini akan dikreditkan kepada akaun penerima yang layak berdasarkan senarai LHDN,” ujarnya. Beliau turut menambah bantuan ini akan turut diagihkan kepada golongan gelandangan (homeless) melalui senarai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.