Kain Burie mula tembusi dunia fesyen

TAHNIAH… Dami (duduk kiri) merakam kenangan bersama semua peserta bengkel penghasilan kain Burie.

KRAF TANGAN kain Burie kini dilihat semakin berkembang di dalam dunia fesyen, sekaligus mampu mendapat pemintaan yang tinggi di pasaran.

Justeru, golongan wanita yang terlibat dalam penghasilan kain Burie digesa untuk memanfaatkan peluang tersebut.

Mereka harus memperluaskan pasaran penjualan kain tersebut dalam usaha untuk menjana pendapatan dan ekonomi domestik.

Golongan wanita perlu mengikis tanggapan pembuatan kain Burie bukan untuk keperluan diri sahaja dan untuk mengisi masa lapang, bahkan kain ini boleh dijual untuk menambah pendapatan keluarga.

Mereka yang terlibat dalam bidang ini perlu terus belajar menghasilkannya dan sekiranya telah mahir, mereka boleh menghasilkan kraf tangan kain Burie dengan jenama sendiri.

Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Pejabat Daerah Selangau, Siti Zaharah Mohamad Mohmood berkata, penggunaan medium teknologi terkini membolehkan pengusaha memasarkan produk mereka sehingga ke pasaran antarabangsa.

“Kita boleh gunakan internet untuk memasarkan produk menerusi perniagaan atas talian berbanding guna cara lama.

“Ia selaras dengan hasrat Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg agar rakyat dapat meningkatkan sumber pendapatan menerusi ekonomi digital,” jelasnya

Sementara itu, Ketua Exco Wanita Majlis Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (MJKKK) Sekuau Pakoh, Dami Dingun berkata, penghasilan kain Burie adalah bidang yang berpotensi dijadikan kerjaya dan menjana pendapatan wanita sama ada sambilan atau sepenuh masa.

“Namun, ia memerlukan kemahiran dan kreativiti dalam meneroka pasaran menerusi kepelbagaian seni kreatif yang dihasilkan.

“Mungkin ada yang  beranggapan kemahiran ini hanyalah untuk membantu memperbaiki kelangsungan hidup diri sendiri atau keluarga,” ujarnya.

Beliau memberitahu, bagi wanita yang memiliki matlamat menambah baik kehidupan mereka, kemahiran yang dipelajari itu sebenarnya mampu menjana pendapatan lumayan jika ia disertai dengan usaha tanpa putus asa.

“Kain Burie merupakan salah satu daripada pakaian tradisional masyarakat Iban yang kini semakin diminati berikutan perubahan fesyen.

“Ia menggunakan kulit atau cengkerang siput sebagai hiasan pada kain dan coraknya digubah mengikut cita rasa masing-masing,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, Wanita MJKKK Sekuau Pakoh komited dalam menganjurkan pelbagai bengkel kraf tangan bagi menyahut seruan kerajaan dalam industri tersebut yang berpotensi menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Sarawak.

“Antara bengkel yang telah kita anjurkan ialah bengkel membuat kasut dan sandal Pua Kumbu, kain Burie, Tangu Moden dan Sugu Tinggi.

“Penganjuran bengkel tersebut telah mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang.

“Pihak kami merasa berpuas hati kerana setiap penganjuran bengkel mendapat sambutan yang baik daripada para peserta,” ujarnya lagi.

Oleh AKUN GIMAN