Lebih RM12 juta dividen memanfaatkan peserta

TERIMA KASIH… Idris Ibrahim menyampaikan replika cek kepada Dato Paduka Mohamad Ali Yacob sambil disaksikan oleh Datuk Dr Juanda Jaya dan Shafrie Saili selepas Program Taklimat Pembangunan Projek dan Simbolik Penyerahan Cek Dividen 2020, di Igan, semalam.

IGAN: Dividen sejumlah lebih RM3 juta  telah diagihkan kepada peserta-peserta Projek Ladang Rakyat Pelita Igan Jaya (PLR Pelita Igan Jaya), baru-baru ini.

Cek dividen bagi tahun 2020 yang bernilai RM3,091,400 itu telah disampaikan pada sebuah majlis yang diadakan di Masjid Darul Falah Igan, di sini.

Penyerahan cek tersebut telah disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya pada Program Taklimat Pembangunan Projek dan Simbolik Penyerahan Cek Dividen 2020 berkenaan.

Ia telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LCDA Agri Business Sdn Bhd, Idris Ibrahim kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kawasan PLR Pelita Igan Jaya, Dato Paduka Mohamad Ali Yacob.

PLR merupakan projek pembangunan tanah berkelompok bagi membangunkan tanah-tanah terbiar menjadi sebuah ladang komersial untuk meningkatkan tahap pendapatan para peserta.

Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) telah dilantik oleh kerajaan sebagai pemegang amanah kepada kawasan tanah yang dimajukan dan bertanggungjawab menguruskan hal ehwal peserta.

PLR Pelita Igan Jaya telah ditanamkan kelapa sawit seluas 2,579 hektar yang bermula pada 2009 dengan Felcra Berhad sebagai pemaju.

Adalah difahamkan seramai 2,048 peserta dengan jumlah 2,378 lot bahagian terlibat dalam projek ini dan jumlah dividen yang telah diagihkan kepada peserta sejak 2015 sehingga 2020 adalah RM12,224,446.

Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Mukah, Shafrie Saili.

Oleh HENRY B SIYU