Penyokong Trump merusuh

PARA penyokong Trump berkumpul di pekarangan Capitol. • Foto AFP

WASHINGTON: Bangunan Capitol Amerika Syarikat diserbu penunjuk perasaan kelmarin sekali gus mencetuskan ketegangan dan memaksa pengiraan undi elektoral Pilihan Raya Presiden 2020 dihentikan, lapor Agensi Berita Xinhua.

Anggota Parlimen dilaporkan terpaksa dipindahkan ketika penunjuk perasaan yang menyokong Presiden Donald Trump menyerbu masuk ke bangunan itu.

“Bangunan Capitol terdapat ancaman keselamatan, tidak dibenarkan masuk atau keluar, jauhkan diri dari tingkap, pintu. Jika di luar, cari perlindungan,” memetik Polis Capitol. 

Anggota Kongres Nancy Mace dari Carolina Selatan, menulis di Twitter “Baru saja mengosongkan pejabat saya di Cannon kerana ancaman. Sekarang kami melihat penunjuk perasaan menyerang Polis Capitol,” tulisnya. “Ini salah … saya sedih dengan apa yang berlaku di negara kita hari ini.”

Seorang wanita dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terkena tembakan di bahagian dada ketika di perkarangan Capitol.Sekurang-kurangnya lima termasuk pegawai keselamatan dikejarkan ke hospital.

Trump di Twitternya menulis “semua orang di Capitol diminta bertenang.”

“Tidak perlu keganasan. Hormati undang-undang, lelaki dan wanita hebat kami yang berpakaian biru. Terima kasih!”

Naib Presiden Mike Pence menerusi akaun Twitternya berkata “Keganasan dan kerosakan yang berlaku di Capitol perlu dihentikan sekarang.” 

“Sesiapa yang terlibat mesti menghormati pegawai Penguatkuasa Undang-Undang dan segera meninggalkan bangunan itu.”

Dalam satu kenyataan bersama, Speaker Dewan Nancy Pelosi dan Ketua Minoriti Senat Chuck Schumer, ahli Demokrat kongres, mahu “Presiden Trump mengarahkan semua penunjuk perasaan segera meninggalkan Capitol.”

Seluruh Pengawal Negara DC dikerah dan diarah mengawal keadaan, menurut ketua jurucakap Pentagon Jonathan Hoffman. 

Virginia turut menghantar 200 pasukan dan menggerakkan unit Pengawal.

Datuk Bandar DC Muriel Bowser pada Rabu mengeluarkan perintah berkurung di seluruh bandar bermula 6.00 petang Rabu hingga 6.00 pagi semalam.

Di Los Angeles, seorang wanita yang maut dipercayai terkena tembakan dalam rusuhan keganasan di bangunan Capitol, Washington semalam, adalah penyokong tegar Presiden Donald Trump.

Mangsa dikenali sebagai Ashli ​​Babbitt, adalah veteran tentera dan sudah berkhidmat di Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), menurut laporan akhbar tempatan.

“Wanita berkenaan ialah Ashli ​​Babbitt, seorang veteran 14 tahun dan berkhidmat dengan Tentera Udara AS, ” lapor stesen TV San Diego, KUSI, yang memetik suami wanita itu.

“Dia adalah penyokong kuat Presiden Trump,” tambah laporan itu, mengatakan wanita itu berasal dari San Diego, California.

Polis Washington mengesahkan kematian, tetapi belum mengenal pasti mangsa atau tidak memberikan perincian mengenai keadaan penembakan itu, yang kini dalam siasatan.

Wanita itu dikatakan terkena tembakan di tengah-tengah kejadian rusuhan dalam bangunan Capitol, selepas penyokong Trump yang melakukan tunjuk perasaan bertempur dengan anggota keselamatan.

Dia meninggal di tempat kejadian selepas cedera parah akibat ditembak, kata polis Washington tanpa mengulas lanjut.

Saluran TV Fox 5 melaporkan Babbitt memiliki perniagaan di San Diego dengan suaminya, yang tidak datang bersamanya ke Washington.

“Saya benar-benar tidak tahu mengapa dia memutuskan untuk melakukan ini,” kata ibu mertuanya kepada stesen televisyen itu.

Babbitt mengenal pasti dirinya sebagai veteran di akaun Twitternya dan menyatakan cintanya kepada AS dan baru-baru ini mengulang ciap mesej untuk menyokong Trump dan dari mereka yang datang ke Washington untuk tunjuk perasaan semalam.

“Tidak ada yang akan menghentikan kita….mereka boleh mencuba dan mencuba tetapi ribut ada di sini dan ia akan turun ke Washington DC dalam waktu kurang dari 24 jam gelap ke cahaya!,” ciapan di akaun Twitternya kelmarin. – AFP