Berazam terus kekal prestasi

KETUA Jurulatih Datus United, Sufian Ibrahim sedang melakukan percaturan strategi kepada pemainnya, semalam.

PENGURUS pasukan Datus United, Awang Putra Yusri Awang Redzuan tidak mahu anak-anak buahnya dibuai dengan kemenangan, sebaliknya mengekalkan prestasi terbaik untuk mengharungi laluan berliku dalam kempen Liga Sri Aman 2021 musim ini.

Kejayaan meraih tiga mata sulung selepas menewaskan The Cops 6-0 dalam aksi Kumpulan B Liga Sri Aman Sabtu lalu, sebaliknya perlu dijadikan titik tolak kebangkitan dan suntikan semangat kepada skuad tersebut.

Bagaimanapun, Awang Putra Yusri ternyata gembira dengan pencapaian para pemainnya yang mula menampakkan persefahaman untuk membentuk satu pasukan yang mantap.

“Semua pemain menunjukkan persembahan yang terbaik dan mereka layak untuk dapatkannya (kemenangan). Kita mengawal keseluruhan aksi, selain mencipta banyak peluang dan akhirnya berjaya menghasilkan enamj gol.

“Ia juga sudah pasti akan meningkatkan tahap keyakinan dan moral kami untuk terus lakukan yang terbaik dalam perlawanan-perlawanan seterusnya selepas ini,” katanya ketika ditemui semasa menjalani latihan semalam.

Apa pun, Awang Putra Yusri mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan mereka itu, sebaliknya memberi sepenuhnya fokus kepada perlawanan kedua menentang Englant FC esok..

“Saya harap semua pemain sudah bersedia untuk menghadapi cabaran Englant FC, dan jika pemain bermain mengikut pelan yang sudah dirancang oleh ketua jurulatih (Sufian Ibrahim), saya yakin kami mampu memberikan tentangan yang sengit sekali gus memungut tiga mata seterusnya,” ujar Awang Putra Yusri.

Justeru, beliau menuntut fokus dan berharap pemain dapat mengelak daripada melakukan kesilapan mudah pada perlawanan seterusnya.

Dalam pada itu, Awang Putra Yusri mengakui masih terdapat kelemahan di beberapa posisi dan berharap pemain segera memperbaiki setiap kesilapan itu.

“Masih banyak kelemahan yang perlu kita perbaiki selepas ini. Ia penting kerana saya tidak mahu ia merencatkan persembahan pemain untuk perlawanan kedua nanti,” tambahnya.

Terdahulu, Awang Putra Yusri turut berbangga dengan beberapa pemain muda yang telah menunjukkan persefahaman yang tinggi digandingkan dengan pemain bintang seperti bekas pemain Sarawak, Mohd Hafiz Abu Bakar serta tiga bekas pemain Kuching FA, Remenor Pit, Affyshahrul Affendi dan Paul Sambang.

“Saya cukup teruja dengan persembahan yang dimiliki pemain muda kita, mereka telah menunjukkan permainan yang matang serta menunjukkan disiplin yang tinggi sepanjang perlawanan,” ujarnya.

Pemain muda yang dimaksudkan beliau iaitu ketua pasukan, Mohamad Halemi Jamil, Mohd Zul Hakimi Tahir, Mohammad Nurfitri Rashid, Hasba Husin dan Mohd Ikhmal Hakimi.

Oleh ADI SAFARMAN