Datus United berpesta lagi

PAUL Sambang dihadang oleh pertahanan Englant FC.

PENYERANG prolifik, Paul Sambang mengesahkan status sebagai ‘mesin gol’ Datus United apabila menjaringkan hatrik pada perlawanan menentang pasukan Englant FC pada saingan Liga Sri Aman 2021 petang semalam.

Paul yang juga merupakan bekas penyerang Kuching FA turut mencipta hatrik pada aksi minggu lalu sekali gus merupakan penjaring terbanyak dengan meledakkan enam gol setakat ini.

Dalam aksi menentang pasukan berpengalaman dalam kancah Liga Sri Aman 2021, Englant FC petang semalam, Datus United terus melakar kemenangan dengan berpesta gol selepas menundukkan pasukan itu dengan jaringan 5-0.

Paul Sambang menampilkan sentuhan berbisanya apabila menjaringkan tiga gol pada minit ke-26, 71 dan 81. Dua gol masing-masing telah dijaringkan oleh bekas pemain Sarawak FA, Mohd Hafiz Abu Bakar pada minit ke-75 dan Akmal Nerawi minit ke-90+1.

Datus United yang turun dengan misi memburu kemenangan berterusan itu, ‘dicengkam’ dalam tempoh 25 minit pertama oleh pemain Englant FC yang diketuai oleh bekas pemain Sarawak FA, Awang Kamaruddin Awang Bohan yang beraksi dengan cemerlang dalam tempoh itu.

Pengurus Datus United, Awang Putra Yusri Awang Redzuan mengakui anak-anak buahnya sepanjang tempoh 25 minit pertama ‘lambat panas’ dengan kesempatan yang digunakan pasukan lawan itu membolehkan mereka (Englant FC) menguasai permainan sehingga menghadirkan tekanan kepada benteng Datus United.

“Para pemain sepanjang tempoh itu agak tertekan dengan asakan serta serangan balas Englant FC yang bertali arus, menyebabkan bahagian benteng yang diketuai oleh Remenor Pit serta penjaga gol, Jimmy Engai bertindak cemerlang menafikan segala cubaan daripada membolosi gawang dibocori.

“Mujurlah jaringan yang dicipta oleh Paul Sambang pada minit ke-26 menjadi pembakar semangat pemain lain sekali gus mengubah corak serta mendominasi aksi mereka selepas itu,” jelas beliau ketika diminta mengulas kejayaan pasukannya itu semalam.

Awang Putra Yusri berkata, Englant FC adalah sebuah pasukan yang baik di semua posisi yang dibarisi pemain-pemain muda berbakat serta mampu memberikan saingat yang sengit kepada Datus United.

“Saya puji atas kerja keras serta usaha para pemain terutamanya di bahagian pertahanan yang bertindak cemerlang bagi menghalang kemaraan Englant FC sepanjang perlawanan itu.

“Syabas kepada pemain kerana berjaya menggapai misi awal dengan memastikan kemenangan serta tiga mata penuh yang dihajati petang semalam,” ujarnya.

Jelas Awang Putra Yusri, kemenangan 5-0 menundukkan Englant FC dan berharap kemenangan bergaya ini akan menyuntik semangat pemain untuk terus mengekalkan momentum kemenangan pada perlawanan seterusnya.

Beliau turut memuji peningkatan prestasi pemainnya yang begitu ketara sekali berbanding perlawanan sebelumnya.

“Peranan dimainkan oleh tonggak utama pasukan, Mohd Hafiz Abu Bakar (Bulu), Remenor Pit, Affyshahrul Affendi dan Paul Sambang sepanjang saingan berjaya menghadirkan tekanan kepada pasukan lawan (Englant FC). Dan saya percaya, mereka serta pemain lain mampu mengekalkan aksi terbaik selepas ini,” jelasnya sambil mengakui percaturan oleh ketua jurulatih, Sufian Ibrahim telah ‘menjadi’.

Dalam pada itu, Datus United turut mendapatkan khidmat dua bekas lagenda pasukan Bujang Senang, Ramos Sari dan Ramles Sari bagi memperkuatkan lagi barisan pasukan itu semalam.

Oleh ADI SAFARMAN