Pengesanan kes aktif dilaksanakan di Milan Square

SARINGAN COVID-19… Pengesanan kes aktif (ACD) dilaksanakan di Milan Square,Kuching semalam.

KUCHING: Ujian rT-PCR Covid-19 secara percuma telah diberikan semasa aktiviti pengesanan kes aktif (ACD) yang dilaksanakan di Milan Square, di sini semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan,Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, ini adalah salah satu inisiatif pengawasan daripada pihak berkuasa tempatan terhadap lonjakan penularan wabak baru-baru ini.

Menurut beliau, aktiviti ACD yang berlangsung tersebut telah melibatkan pelbagai agensi dari sektor awam.

“ACD yang melibatkan pelbagai agensi ini adalah salah satu cara pengawasan masyarakat di kawasan dengan jumlah kes positif yang tinggi.

“Ia (ujian PCR) adalah percuma, namun apa yang paling penting adalah kerjasama masyarakat untuk maju tampilkan diri menjayakan usaha ini.

“Inisiatif ini bukan hanya untuk diri anda, tetapi untuk keselamatan keluarga, rakan sekerja, rakan-rakan anda dan untuk Sarawak,”katanya menerusi kenyataan dalam laman media sosial,semalam.

Jelas beliau, orang awam perlu memainkan peranan mereka dengan baik dalam mengekang penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan sekarang ini.

Tambahnya, mana-mana pihak yang mempunyai gejala ataupun berisiko terdedah kepada jangkitan menerusi kontak rapat perlu melakukan ujian saringan dengan kadar segera.

“Saya menggesa orang awam untuk sama-sama memainkan peranan anda, pergi lakukan ujian saringan dan patuhi segala SOP yang ditetapkan.

“Kita sudah hampir untuk mendapatkan vaksin, jangan leka dan jangan terlalu selesa. Kita harus sentiasa berwaspada,” tegasnya lagi.

Oleh AKMAL ADIB YUSUP