Mesir lanjut darurat 3 bulan lagi

DALAM dekri presiden, al-Sisi berkata, aspek kesihatan dan keselamatan Mesir kini dalam keadaan ‘berbahaya’. – Foto BERNAMA

ISTANBUL:Presiden Abdel-Fattah al-Sisi melanjutkan darurat di seluruh negara selama tiga bulan lagi, lapor agensi berita Anadolu memetik warta rasmi negara itu.

Dalam dekri presiden, al-Sisi berkata, aspek kesihatan dan keselamatan Mesir kini dalam keadaan ‘berbahaya’. 

Darurat membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah pencegahan lebih ketat, termasuk merujuk suspek keganasan ke mahkamah keselamatan, menguatkuasakan perintah berkurung dan menapis laporan akhbar. 

Kementerian Kesihatan dan Penduduk Mesir mengesahkan 20 lagi kematian akibat Covid-19 pada Isnin, menjadikan keseluruhan 337 orang. Jumlah kes berjumlah 4,782 manakala 1,236 pesakit sembuh. 

Bulan lalu, Kaherah mengenakan perintah berkurung pada waktu malam bersama dengan langkah-langkah pencegahan lain.

Memandangkan beberapa negara melonggarkan sekatan pergerakan sempena Ramadan, Mesir yang mempunyai hampir 100 juta penduduk, turut mengambil pendekatan sama membenarkan pusat beli-belah dan kedai dibuka setiap hari. 

Perintah berkurung bermula 9.00 malam berbanding sebelum ini 8.00 malam, sehingga 6.00 pagi.

Sekolah, universiti, masjid dan kawasan pelancongan masih ditutup. – Bernama