KKM, Pfizer meterai perjanjian

DOKUMEN PERJANJIAN… Datuk Seri Dr. Adham Baba yang mewakili Kerajaan Malaysia menunjukkan dokumen perjanjian pembuatan dan pembekalan vaksin Pfizer Covid-19 yang ditandatanganinya bersama Pengurus Negara Pfizer Malaysia dan Brunei, Luksanawan Thangpaibool (skrin) selepas menandatanganinya melalui sidang video di Kementerian Kesihatan semalam.• Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perjanjian untuk penghantaran fasa pertama vaksin Covid-19 Pfizer – BioNTech BNT1262b ke seluruh negara dimeterai semalam di antara Kerajaan Malaysia,melalui Kementerian Kesihatan (KKM),dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd.

Perjanjian bagi mengeluarkan dan membekalkan (MSA) vaksin Covid-19 Pfizer di Malaysia itu dimeterai melalui telesidang dengan Malaysia diwakili Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr.Adham Baba, manakala Pengurus Negara Pfizer (Malaysia dan Brunei) Luksanawan Thangpaibool bagi pihak Pfizer.

Perjanjian itu merupakan lanjutan kepada perjanjian “Binding Heads of Terms” (perjanjian awal untuk mengikat terma-terma) yang ditandatangani pada 24 November lalu.

Menurut kenyataan KKM yang dikeluarkan bersempena pemeteraian itu, perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) melibatkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang akan dibekalkan mulai penghujung Februari,meliputi 20 peratus populasi Malaysia dengan dua dos seorang.

Kerajaan juga, kata KKM bersetuju untuk membuat perolehan bekalan tambahan 12.2 juta dos yang menjadikan jumlah keseluruhan vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b sebanyak 25 juta dos,meliputi 39 peratus populasi Malaysia, yang akan diterima sepanjang tahun ini.

Dr. Adham pada majlis itu berkata, Kerajaan Malaysia menghargai sokongan yang diberi oleh Pfizer dan berharap bekalan vaksin akan tiba di
negara ini lebih awal daripada jangkaan. – Bernama