Varieti padi moden tingkat pengeluaran beras

BERHASIL… Datuk Roland Sagah Wee Inn, Datuk Snowdan Lawan dan tetamu sedang melakukan simbolik perasmian Majlis Penuaian Benih Padi Berkualiti di Kampung Limau, Pantu,Sri Aman.

Sarawak perlu menjadi sebuah negeri yang memiliki keupayaan untuk menampung dan mengeluar bekalan berasnya sendiri tanpa bergantung sepenuhnya import dari negara- negara jiran.

Atas sebab itu, Kerajaan Sarawak menerusi agensi Jabatan Pertaniannya telah pun memperhebatkan projek penanaman padi dalam kalangan penduduk dan seterusnya menghasilkan beras berkualiti tinggi.

Usaha tersebut telah pun dibuktikan apabila kerajaan mensasar sejumlah 2,829 hektar kawasan Skim Pengairan dalam seluruh negeri ini bagi tujuan penanaman varieti padi moden sebanyak dua kali setahun menjelang tahun 2030.

Sasaran tersebut sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membolehkan Sarawak 70 peratus tahap sara diri beras menjelang tahun itu kata Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Beliau ketika berucap merasmikan Majlis Penuaian Benih Padi Berkualiti di Kampung Limau, Sri Aman  bulan lalu berkata tahap sara diri beras Sarawak masih lagi berada pada tahap yang rendah iaitu 51 peratus.

Bagi mencapai sasaran tersebut, varieti padi moden jenis M-R-2-6-9 dan M-R-2-9-7 kata Roland telah pun dipilih bagi tujuan itu kerana ia mempunyai tempoh matang yang singkat iaitu sekitar tiga bulan setengah selain mampu mengeluarkan hasil yang tinggi.

Beliau turut menambah bahawa penambahbaikan infrastruktur ladang dan penggunaan mekanisasi ladang juga akan dijadikan sebagai inisiatif bagi membantu mencapai sasaran keperluan beras negeri selain menggunakan benih padi varieti moden itu.

“Pada tahun lepas, jumlah keluasan kawasan padi dalam negeri ini adalah 61,064 hektar. Daripada jumlah itu, sejumlah 7,238.3 hektar berada dalam skim Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) manakala selebihnya berada di luar skim.

“Ia menunjukkan bahawa kita tidak menggunakan tanah sedia ada bagi tujuan penanaman padi secara maksimum,” katanya sambil menambah kebanyakan kawasan sawah padi itu bersaiz kecil dengan purata hasil hanya sebanyak 3.1 tan metrik sehektar.

Selain itu Roland juga amat mengalu-alukan tindakan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) dan DID Sarawak dalam berganding bahu bagi membangunkan kawasan tanaman padi sedia ada dan yang terbiar dalam negeri ini.

“Usaha kedua-dua pihak ini adalah amat penting demi memastikan kesemua kawasan sawah tersebut kembali produktif dan mengeluarkan padi dengan kuantiti serta kualiti yang berlipat ganda.

Hadir sama ialah Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Edwin Abit, Pengarah Pertanian Sarawak, Dr Alvin Chai Lian Kuet, Timbalan Residen Sri Aman, Elvis Didit dan Pegawai Menguasa Pertanian Daerah Panty, Eddyson Jenggah..

Terdahulu seluas 15 hektar kawasan Paya Kudak, Kampung Limau di sini telah dibangunkan bagi tujuan pengeluaran benih padi varieti moden seperti yang dilaksana di Stumbin dan Tanjung Bijat.

Projek perintis yang dikendali oleh pihak Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman itu telah bermula pada pertengahan Ogos lepas dengan sasaran pengeluaran sebanyak empat tan metrik sehektar menerusi penanaman padi dua musim setahun.

Untuk permulaan, projek ini memberi tumpuan untuk mengeluarkan benih padi berkualiti sebelum kawasan tersebut dibangunkan untuk pengeluaran padi atau beras secara komersial.

Sambil melibatkan penyertaan seramai 21 pemilik tanah, projek di Kampung Limau berkenaan berteraskan mekanisasi ladang dengan penggunaan jentera dan mesin selain penggunaan drone untuk pembajaan.

Musim pertama menyaksikan benih padi dari varieti MR269 dapat dituai pada Disember ini.

Baka padi jenis MR269 memiliki tempoh matang antara 105-120 hari dan tersebut boleh ditanam serta dituai sebanyak dua musim setahun.

Kemunculan MR269 juga membolehkan para petani menggunakan benih padi bermutu tinggi untuk menjamin bekalan beras mencukupi selain bagi tujuan eksport ke negara luar untuk menambah pendapatan negeri ini.

Oleh VALENTINE NGUMBANG