DARURAT HINGGA 1 OGOS

”SERI Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.”-Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” katanya.

Ahmad Fadil berkata perkenan itu telah mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berhubung cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat ketika menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada 5.30 petang semalam (11 Jan) untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang kini mencecah empat angka.