Kerajaan awam berfungsi seperti biasa

PERUTUSAN KHAS… Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan semalam. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan Pengisytiharan Proklamasi Darurat bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, malah sepanjang tempoh itu kerajaan awam akan terus berfungsi seperti biasa termasuk dalam membendung penularan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri berkata, perintah berkurung tidak akan dilaksanakan sepanjang tempoh darurat dan jentera pentadbiran serta perkhidmatan awam kerajaan persekutuan dan negeri tidak akan terganggu dengan perisytiharan darurat ini.

“Dari segi pentadbiran kerajaan,Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan
dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dari
semasa ke semasa.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan awam akan terus berfungsi.

Pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong bukanlah rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung tidak akan dilaksanakan,” katanya menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan semalam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata Jemaah Menteri dalam nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berpendapat bahawa darurat seluruh negara perlu diisytiharkan memandangkan kes jangkitan semakin meningkat dan tidak
menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam masa terdekat.

“Kerajaan perlu mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan rakyat tidak lumpuh.

“Ordinan Darurat diisytiharkan bagi meningkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

“Di samping itu, kuasa-kuasa perlu di bawah ordinan ini juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan dalam masa pandemik ini,”katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh darurat ini, jika Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Seri Paduka Baginda
boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan semasa.

“Dalam konteks ini, beberapa Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan membendung wabak Covid-19 yang merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit Covid-19,” katanya. – Bernama