S’wak maju bersama pasukan Abang Jo

HARI ini genap empat tahun Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak yang keenam setelah mengangkat sumpah jawatan pada 13 Januari 2017 yang lalu.

Sekali gus ia bermakna empat tahun juga Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem telah meninggalkan kita rakyat Sarawak.

Abang Johari yang lebih mesra dipanggil dengan nama Abang Johari, seorang ahli politik veteran, telah berkecimpung dalam politik lebih daripada 30 tahun.

Abang Johari yang berkelulusan ijazah pentadbiran perniagaan dari Universiti United Kingdom, pertama kali bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, pada 1981.

Beliau mempunyai 10 orang adik beradik daripada keluarga ternama Sarawak yang mempunyai sejarah panjang di negeri ini.

Allahyarham bapanya Tun Abang Haji Openg merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak pertama selepas Sarawak mencapai kemerdekaan daripada Britain dan selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

PENCAPAIAN PASUKAN ABANG JO MEMBANGGAKAN

Seawal pelantikan sebagai Ketua Menteri, mungkin ramai yang kurang yakin dengan kepimpinan Abang Johari mungkin disebabkan baru sahaja meratapi pemergian Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Bagaimanapun, Abang Johari yang tampil dengan caranya yang tersendiri dalam mentadbir dan membangunkan negeri ini bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030, saban hari semakin menyerlah dan membanggakan.

Malah, Sarawak yang pernah dicanangkan oleh pihak pembangkang suatu ketika dahulu akan bangkrap dalam tempoh tiga tahun, kini dicemburui dan menjadi contoh kepada beberapa negeri-negeri lain.

Kemampuan Abang Johari makin terserlah ketika mendepani gelombangpolitik setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang kepada Pakatan Harapan (PH).

Walaupun berdepan tekanan dan mengambil pendekatan ditengah-tengah, Sarawak terus mengorak langkah dengan kejayaan demi kejayaan dalam memperjuangkan nasib rakyat dengan acuannya sendiri.

Sebelum pandemik Covid-19 ‘menyerang’ negara. Banyak yang telah dilakukan oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dibawah pimpinan Abang Johari, bagi membangunkan Bumi Kenyalang agar mencapai sasaran menjadi negeri maju menjelang 2030.

Sejak dari awal lagi Abang Johari telah melaksanakan lebih daripada 80 inisiatif yang lebih dikenali sebagai inisiatif pasukan Abang Johari dalam usaha memacu dan memperkasa pembangunan terutamanya di kawasan luar bandar di negeri ini.

Antara inisiatif tersebut termasuklah, memperjuangkan kepentingan, hak dan kedudukan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan melalui penubuhan Jawatankuasa Perundingan untuk menasihatkan wakil Sarawak dalam Jawatankuasa Khas Kabinet Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Hasilnya cukup membanggakan, dengan PETRONAS terpaksa membayar Cukai Jualan Negeri (SST) kepada Kerajaan Sarawak.

Setakat ini, PETRONAS telah menyelesaikan pembayaran SST bernilai lebih RM2.9 bilion, bagi produk petroleum 2019.

PELBAGAI KEJAYAAN LAIN

Kerajaan GPS di bawah pimpinan Abang Johari juga telah memberi peruntukan kewangan yang tertinggi untuk pembangunan dalam Belanjawan Negeri Sarawak 2019 bagi mempercepatkan pembangunan sosioekonomi negeri Sarawak untuk faedah dan kesejahteraan rakyat.

Menurunkan kadar premium tanah untuk kawasan Skim Penempatan Semula dan Skim Pembesaran Kampung sebanyak 50 peratus. Premium telah ditetapkan RM2,500/lot berbanding kadar asal RM5,000/lot.

Mempertahankan Hak Tanah Rakyat melalui Pengiktirafan Native Territorial Domain melalui pindaan Kanun Tanah 2018.

Selain itu, kerajaan di bawah Abang Johari juga telah menubuhkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Sarawak Multimedia Authority (SMA), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), mewujudkan Sarawak Pay, membina jambatan baharu termasuk jambatan yang telah dihentikan pembinaannya oleh kerajaan PH dan banyak lagi yang lain.

Apa yang penting, disebalik pelbagai cabaran dan rintangan termasuk berdepan dengan ancaman penularan pandemik Covid-19 ketika ini. Abang Jo masih mampu melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

Ketika rakyat kerisauan berdepan penularan Covid-19, Kerajaan Sarawak antara negeri yang dipuji dan menjadi contoh kerana mampu mengawal penularan virus Covid-19 serta masih mampu memberikan bantuan bagi meringankan beban rakyat menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Oleh itu, terutama ketika waktu mencabar ini adalah wajar bagi rakyat di negeri ini untuk terus memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan GPS di bawah pimpinan Abang Johari jika mahu melihat negeri ini terus maju dan mencapai impian menjadi negeri maju dalam tempoh sembilan tahun sahaja lagi.

Oleh ANTHONY PUNAN