Sapura Energy umum langkah penjimatan

PRESIDENT dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Shahril Shamsuddin.

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd mengumumkan beberapa langkah penjimatan peringkat dalaman, termasuk pemotongan gaji sebanyak 50 peratus untuk pasukan kepimpinannya berkuat kuasa serta-merta, pelarasan semula gaji pekerja antara lima dan 45 peratus selepas Ramadan, serta pengurangan tenaga kerjanya.

Dalam kenyataan semalam, Sapura Energy berkata, langkah itu diambil untuk mengurangkan impak daripada pandemik Covid-19 dan harga minyak mentah yang rendah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, pandemik dan harga minyak mentah yang rendah telah memberi kesan kepada pengukuhan kewangan syarikat.

“Bagi meneruskan perniagaan kami, kami perlu melaksanakan langkah-langkah penjimatan dengan segera untuk melindungi aliran tunai kami,” katanya dalam nota kepada pekerja syarikat itu semalam.

Walaupun menyedari keputusan itu mungkin sukar bagi kebanyakan pekerja, Shahril berkata, pada asasnya, syarikat akan memastikan mereka yang berpendapatan rendah akan kurang dibebani oleh pemotongan tersebut.

Beliau turut memberi jaminan kepada pekerjanya bahawa syarikat mempunyai strategi yang menyeluruh untuk memacu Sapura Energy keluar daripada cabaran yang sedang dihadapi, yang juga menjejaskan banyak perniagaan lain.

“Landskap industri akan menjadi sukar, pada masa depan. Bagaimanapun, jika kita mengekalkan daya tahan kita, kita akan dapat keluar daripada cabaran ini dan menjadi lebih kukuh,” katanya. – Bernama