Jangan buat pembelian panik – KPDNHEP

PENGUATKUASA KPDNHEP Cawangan Sibu giat melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan mencukupi.

SIBU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sibu menasihati orang ramai agar tidak membuat pembelian panik ekoran kenaikan kes Covid-19 baru-baru ini.

Ketua Cawangan KPDNHEP Cawangan Sibu, Kelyn Bolhassan @ Haliward berkata, situasi pembelian panik ini tidak sepatutnya berlaku kerana hasil pemantauan mendapati bekalan barangan di semua sektor peruncitan mencukupi.

“Kementerian sentiasa memantau secara harian semua barang keperluan pengguna di seluruh bandar Sibu agar sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi di pasaran, sekali gus mampu menampung keperluan pengguna secara berterusan.

“Antara barang yang dipantau termasuk gula,minyak masak, tepung gandum,beras, cecair sanitasi dan pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan,semalam.

Oleh itu, katanya, pengguna dinasihatkan untuk mengelak pembelian panik kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran.

“Pihak peniaga juga dinasihati supaya mengadakan kawalan kendiri,jika perlu bagi mengelak pembelian yang berlebihan dan kuantiti yang besar.

“Anggota penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Sibu giat melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan mudah diperolehi,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kelyn memberitahu, sekiranya terdapat masalah bekalan atau aduan mengenai kegiatan peniaga yang tidak beretika,orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada kementerian melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU,portal e-aduan :https://e-aduan.

kpdnhep.gov.my/.“Pengguna juga boleh menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Sibu di talian 084-335662 atau WhatsApp ke 019-2794317 (Aduan Pengguna).

“Selain itu, pengguna juga boleh menghantar e-mel ke alamat ‘e-aduan@ kpdnhep.gov.my,” jelasnya lagi.