MATTARY pusat hafiz profesional

DATUK Patinggi Abang Johari (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Penyerahan MATTARY di antara LAKMNS yang diwakili oleh Tan Sri Datuk Amar Bujang Nor (dua kiri) dan Drahman Jaladin (kiri), manakala MIS diwakili oleh Datu Misnu Taha (dua kanan) dan Datu Kipli Yassin (kanan).

Ma’had Tahfiz Tun Abdul-Rahman Ya’kub (MATTARY) ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak dengan matlamat besar iaitu untuk melahirkan lebih ramai hafiz (penghafaz al-Quran)  profesional, seterusnya  memartabatkan institusi tahfiz di negeri ini.

Idea penubuhannya MATTARY dicetuskan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib  Mahmud ketika beliau memegang jawatan Ketua Menteri merangkap  Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak ( LAKMNS).

LAKMNS telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan penubuhan serta mengendalikan operasi MATTARY ketika itu.

Kompleks MATTARY mempunyai keluasan 20.8 ekar dan menyediakan sebanyak 18 buah kelas serta bilik untuk kemudahan pembelajaran dan pengajaran (PdPC). 

Sistem pembelajaran MATTARY adalah berteraskan dwi kurikulum iaitu Kurikulum Tahfiz al-Quran Bersepadu (KTAB) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Sejak pengambilan pertama pelajar pada tahun 2011, antara pencapaian terbaik murid MATTARY dalam bidang hafazan adalah kejayaan para pelajarnya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Secara keseluruhannya, 30 peratus pelajar berjaya menghafaz tujuh juzuk ke atas,  manakala selebihnya berjaya menghafaz dua hingga enam juzuk.

Di dalam bidang akademik, pada tahun 2019, MATTARY telah menerima Sijil Kecemerlangan Akademik daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di atas pencapaian peratusan Gred A dalam semua mata pelajaran,  mengatasi peratusan pencapaian peringkat kebangsaan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 dan Sijil Usaha Gigih kerana menunjukkan peningkatan dalam UPSR 2018.

Dalam bidang kokurikulum, antara pencapaian terbaik murid MATTARY adalah memenangi pingat emas dalam Pertandingan Matematik Peringkat Dunia di Filipina pada tahun 2017.

Sejak awal penubuhannya pada tahun 2011, MATTARY telah dikendalikan oleh LAKMNS termasuklah dalam aspek merangka pelan pentadbiran dan pengurusan serta pembinaan Kompleks Pusat Pengajian Al-Quran Tun Abdul Rahman Ya’kub (PATARY) dengan perbelanjaan sebanyak RM22.81 juta iaitu lokasi di mana MATTARY beroperasi. 

Bagaimanapun, bermula 1 Januari 2021, keseluruhan pentadbiran dan pengurusan termasuk Kompleks Pusat Pengajian Al-Quran Tun Abdul Rahman Ya’kub (PATARY) milik Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) diambil alih oleh Majlis Islam Sarawak (MIS).

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pengambilalihan ini dibuat memandangkan

perbelanjaan sekolah berkenaan amat tinggi.

“Perbelanjaan untuk MATTARY amat tinggi,  maka biarlah kerajaan negeri menguruskan dan mengambil-alih sekolah berkenaan agar mudah menyalurkan dana perbelanjaan untuk meneruskan operasi MATTARY” kata beliau ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Penyerahan MATTARY di antara LAKMNS  dan MIS, baru-baru ini. 

Abang Johari Dalam majlis ini, LAKMNS telah diwakili oleh Setiausaha Kehormat LAKMNS, Tan Sri Datuk Amar Bujang Mohd. Nor dan Ahli Lembaga LAKMNS Drahman Jaladin, manakala MIS diwakili oleh Yang Di-Pertua MIS, Datu Misnu Taha dan Mufti Negeri Sarawak, Datu Kipli Yassin. 

Sementara itu, Tadika Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub (TATTARY) masih kekal di bawah kelolaan LAKMNS. 

TATTARY bertempat di Aras Bawah Masjid Jamek Negeri Sarawak telah beroperasi selama 11 tahun dengan purata pengambilan murid tadika seramai 275 orang pada satu-satu masa. 

Murid TATTARY pada masa ini menyumbang peratusan tertinggi kemasukan murid Tahun 1 di MATTARY dengan melepasi ujian kelayakan yang diadakan oleh pihak MATTARY setiap tahun. 

Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak akan menubuhkan sekolah menengah agama antarabangsa menggunakan silibus dari Madrasah Aljunied Al-Islamiah Singapura bagi kepentingan masyarakat Islam di negeri ini.

Pembinaan sekolah ini akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak  dan akan dimulakan tahun hadapan dan dijangka siap tiga tahun lagi.

Lokasi sekolah baharu itu akan terletak berhampiran sekolah rendah MATTARY sekarang dan akan dilengkapi dengan kemudahan yang sesuai dengan pendekatan pendidikan hari ini.

Difahamkan bahawa syarat kemasukan ke sekolah menengah ini lebih ketat dan keputusan pelajar mesti cemerlang.  Selain mahir di dalam pengajian Al-Quran, para pelajar juga akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi termasuk mengambil silibus STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik).

Oleh NUR AIN OTSMAN