Dua pemain muda Datus jadi tumpuan

KETUA pasukan Datus United, Mohamad Halemi Jamel begitu cemerlang dibahagian tengah.

PRESTASI cemerlang yang ditonjolkan dua karektor pemain muda Datus United mengundang rasa bangga barisan jurulatih serta pihak pengurusan skuad itu.

Pengurus pasukan Datus United, Awang Putra Yusri Awang Redzuan berkata dua pemain muda yang menyinar dimaksudkan itu ialah Mohamad Halemi Jamel, 29, dan Muhammad Zul Hakimi Tahir, 22.

Beliau berkata pasukan Datus United yang telah menempuhi dua perlawanan setakat ini, dengan meraih dua kemenangan berturut-turut itu adalah satu kejayaan dimana pemain muda yang digandingkan dengan pemain bintang terus beraksi dengan cemerlang.

Malah bagi Awang Putra Yusri, kemasukan dua pemain itu ke skuad Datus United pada saingan Liga Sri Aman musim ini sebagai satu ‘rahmat’ kepada mereka dalam merealisasikan impian untuk mencipta sejarah tersendiri merangkul gelaran juara.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian serta komitmen dan disiplin permainan yang ditunjukkan oleh dua pemain muda Datus United itu, yang konsisten dalam dua perlawanan lalu.

“Apa yang kita harapkan ialah pengalaman dan ilmu yang dikongsikan bersama pemain bintang seperti Mohd Hafiz Abu Bakar, Paul Sambang dan Remenor Pit, akan menjadi pemangkin serta dorongan kepada pemain muda Datus United untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.

Awang Putra Yusri berkata dua pemain itu (Mohamad Halemi dan Muhammad Zul Hakimi) jika diberi peluang serta pendedahan diperingkat tinggi, beliau percaya tiada yang mustahil satu hari kelak kedua-dua pemain ini akan menyarung jersi pasukan Sarawak United dan Kuching City FC, amnya.

“Saya harap dengan medium melalui penganjuran Liga Sri Aman ini, bakat-bakat pemain muda seperti Mohamad Halemi dan Muhammad Zul Hakimi dipandang dan diangkat oleh pihak yang berkenaan dalam usaha memartabatkan sukan nombor satu negara ini.

“Begitu juga pemain-pemain muda daripada pasukan lain, saya telah menyaksikan ramai pemain dibawah umur 23 tahun amnya, yang berbakat menyertai Liga Sri Aman musim ini, saya berpandangan jauh bahawa satu hari kelak bahagian Sri Aman bakal menjadi pengeluar pemain-pemain muda untuk menyarung jersi pasukan negeri,” tegas beliau.

Sementara itu, Awang Putra Yusri berkata terdapat beberapa pemain muda yang menyarung jersi Datus United di dalam pasukan itu, mereka haruslah menunjukkan prestasi serta komitmen yang tinggi untuk merebut kesebelasan utama.

“Tiada yang mustahil, pemain muda lain Datus United perlu menunjukkan prestasi yang cemerlang dan bersaing dalam usaha merebut tempat kesebelasan utama pasukan ini.

“Saya terharu dengan mentaliti pemain muda dan perkembangan ini menyuntik moral pasukan Datus United.

“Saya berkeyakinan dengan kekuatan pemain muda yang ada, kini masa yang sesuai untuk kita kembali mengangkat maruah sukan bolasepak bahagian Sri Aman ini,” tambahnya lagi.

Oleh ADI SAFARMAN