Sempadan Malaysia,Brunei diperketat

PERJALANAN TERSEKAT… Deretan kenderaan kargo yang membawa barangan keperluan tersekat di pintu sempadan Brunei dan Lawas akibat perintah kawalan sempadan yang diperketatkan.

LAWAS: Kerajaan Brunei terus memperketatkan pintu sempadannya dengan Malaysia berikutan kepada situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dan proklamasi darurat yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Menerusi titah Sultan Brunei semalam, negara Brunei memaklumkan bahawa kebenaran untuk para ‘runners’ untuk mengambil barangan dari negara jiran (Miri & Limbang) adalah ditangguhkan selama dua minggu bermula 13 hingga 26 Januari 2021.

Manakala kebenaran bagi rentas sempadan dari Malaysia melalui kawasan Brunei juga ditangguhkan.

Kebenaran untuk commuters yang berulang-alik bagi urusan kerja juga ditangguhkan. Mereka adalah disarankan untuk menginap di kawasan/tempat mereka bekerja.

Ujian Saringan Covid-19 bagi para pemandu kenderaan berat yang membawa bekalan makanan yang sebelumnya dibuat setiap dua minggu sekali akan dikerapkan kepada seminggu sekali.

Melihat kepada arahan titah Sultan Brunei itu, rakyat di Daerah Limbang dan Lawas turut memohon agar Kerajaan Malaysia dan Sarawak dapat mempercepatkan pembinaan jalan darat tanpa melalui negara Brunei bagi menghubungkan kedua daerah tersebut.

Daerah Limbang dan Lawas terpisah oleh Daerah Temburong Brunei manakala Bahagian Limbang dan Bahagian Miri terpisah oleh tanah besar negara Brunei.

Jalan perhubungan ini dilihat penting untuk keperluan kecemasan dan juga perhubungan antara daerah di Utara Sarawak.

Selain memperketatkan kawalan dan prosedur operasi standard (SOP) di sempadan Brunei, negara jiran juga mengenakan caj Brunei Dollar 3.00 untuk setiap kepala yang masuk dan keluar melalui pintu sempadan.

Bayaran dibuat melalui dalam talian dan setakat ini kaunter untuk pembayaran secara manual tidak disediakan.

Rakyat Lawas yang hendak ke Limbang perlu melalui dua pintu sempadan iaitu di Pos Puni dan Pos Imigresen Labu Brunei.

Perjalanan ke Miri perlu melalui pos sempadan Kuala Lurah dan Pos Sempadan Sungai Tujuh untuk laluan sehala.

Oleh ADENG EDRUS