Kraf tangan sumber pendapatan suri rumah

TELITI… Menon menghasilkan bakul daripada dawai.

BINTULU: Kaum ibu kebiasaannya akan mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat dan bermakna dengan menghasilkan kraftangan.

Kemahiran untuk menghasilkan kraf tangan yang berkualiti turut menjadi inspirasi kaum ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa ini.

Stail berkesempatan menemubual Menon Chukai, 57, untuk berkongsi tentang penghasilan kraf tangan oleh kaum ibu di Bintulu.

Menon turut menarut minat dalam menghasilkan kraf tangan khususnya bakul serta tudung salji yang diperbuat daripada barangan plastik yang dianyam rapi.

Menurutnya, hasil kraf tangan yang halus akan mendapat sambutan di pasaran serta diharapkan dapat membantu meringankan bebanan keluarga dalam usaha mencari rezeki. 

“Kraf tangan ini sekiranya dijual dan dibeli oleh pembeli, sedikit sebanyak akan meringankan beban untuk memberi barangan dapur,” katanya. 

Stail sempat melihat kegigihan Menon   menganyam sejenis dawai untuk membuat bekas tempat menyimpan pinggan di PPR Bandaria Park.

Minat yang mendalam beliau untuk menghasilkan kraf tangan daripada dawai tersebut telah dimulakan sejak beberapa tahun yang lalu. 

Katanya, buat masa ini bagi yang ingin membeli bakul tersebut boleh mencari beliau di kawasan berkenaan dan bakul tersebut dijual dengan harga RM30 hingga RM60 mengikut saiz bakul. 

“Untuk menyiapkan anyaman ini dan menjadi bakul yang cantik akan mengambil masa sehari  hingga dua hari dan ini bergantung kepada keadaan sekiranya tiada gangguan dan kerja lain,” katanya. 

Menurutnya, bakul-bakul dawai tersebut akan dicat supaya lebih tahan lama dan menarik. 

Dalam pada itu, seorang lagi yang turut mengusahakan kraf tangan yang hanya dikenali sebagai Indai Rubia, 46, berkata, usaha untuk membuat bakul tersebut bukan sahaja sebagai minat dan peluang untuk mencari rezeki, tetapi kerja-kerja tersebut menjadi salah satu aktiviti yang mampu untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan mereka (kaum ibu) di PPR tersebut. 

“Kami akan duduk bersama yang menghasilkan hasil tangan masing-masing dan bermula dari inilah kami akan lebih rapat serta saling mengenali walaupun yang mendiami rumah ini dari berbagai daerah dan kawasan,” katanya. 

Beliau ketika ditemui sedang menganyam bakul yang diperbuat daripada plastik dan dianyam dari pelbagai warna. 

Menurutnya, bakul tersebut boleh dianyam sekiranya seseorang itu mempunyai kemahiran dan boleh dihasilkan dengan pelbagai corak dan warna mengikut kehendak masing-masing. 

Beliau menyeru bagi kaum ibu yang masih muda dan menjadi suri rumah sepenuh masa untuk menceburkan diri dalam usaha menghasilkan kraf tangan tersebut. 

“Bagi kaum ibu atau generasi masa kini, sekiranya mereka pandai menghasilkan kraf tangan ini mudah untuk mereka memasarkan produk kerana mereka amat terdedah dengan teknologi digital, jadi mereka boleh memasarkannnya melalui internet,” katanya. 

Katanya, untuk menghasilkan bakul yang anyam daripada plastik tersebut juga akan mengambil masa antara dua hingga tiga hari. 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kaum ibu untuk sama-sama lebih kreatif dalam mengisi masa lapang yang mampu memberi manfaat kepada keluarga dan mambantu suami tercinta untuk mencari rezeki.

Oleh ELLIE EDWARD