Punca Covid-19 dicari

TEDROS Adhanom Ghebreyesus

GENEVA:Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan semalam, bahawa siasatan antarabangsa mengenai asal usul pandemik Covid-19, yang akan dimulai minggu ini di China, bukan bertujuan mencari kesalahan sesiapa.

Ketua Program Kecemasan WHO, Mike Ryan, berkata misi kumpulan saintis antarabangsa itu yang sudah beberapa kali ditunda akhirnya diberi lampu hijau oleh Beijing, sebenarnya adalah mengenai sains, bukan politik.

Seramai 10 pakar antarabangsa akan mengunjungi China hari ini untuk menyiasat dan memeriksa asal-usul coronavirus, selepas lebih setahun wabak itu mula menjangkiti manusia.

“Kita mahu memahami asal usul penyakit ini dan bukan untuk mencari orang yang harus disalahkan.

“Ini adalah untuk mencari jawapan saintifik mengenai bagaimana virus berkenaan yang dikatakan dibawa oleh haiwan menjangkiti manusia. Ini adalah syarat penting bagi kita untuk memahaminya.

“Kita mahu mencari jawapan di sini, bukan pelakunya dan bukan orang yang harus dipersalahkan,” kata Ryan pada sidang media di Geneva.

Pakar kesihatan juga berkata, menyelesaikan misteri bagaimana virus pertama kali melompat dari haiwan ke manusia sangat penting untuk mencegah wabak lain.

Misi itu akan mengunjungi Wuhan di China, di mana sekumpulan kes pertama dikesan pada Disember 2019.

WHO menjangkakan siasatan itu akan dimulakan minggu lalu tetapi, kerana terkejut dan kecewa badan kesihatan PBB dengan dua anggota sudah dalam perjalanan, Beijing tiba-tiba mengumumkan penangguhan izin masuk pada saat-saat terakhir.

Berikutan gangguan dan pemeriksaan yang mendalam, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus semalam, memohon misi itu diberi ruang untuk melakukan tugasnya.

“Kami gembira pasukan saintis antarabangsa – pakar terkemuka dari 10 institusi dan negara – memulakan perjalanan mereka ke China untuk meninjau penyelidikan saintifik dengan rakan mereka dari China mengenai asal-usul virus Covid-19,” katanya.

“Kajian akan dimulakan di Wuhan, China untuk mengenal pasti potensi sumber jangkitan pada kes awal. Bukti saintifik akan mendorong hipotesis, yang kemudian menjadi asas untuk kajian jangka panjang.

“Ini penting bukan hanya untuk Covid-19 tetapi untuk masa depan keselamatan kesihatan global dan untuk menangani ancaman penyakit yang muncul dengan potensi pandemik.

“Beri peluang kumpulan saintis ini ruang untuk bekerjasama dengan rakan mereka dari China dengan berkesan dan mari kita doakan mereka dapat melakukan dengan baik,” kata Ryan.

Dalam pada itu, WHO) berkata mutasi varian baharu Covid-19 dikesan di Jepun minggu lalu, berbeza daripada yang dikenal pasti di United Kingdom (UK) dan Afrika Selatan.

Berikutan itu, WHO bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kesihatan Jepun serta pakar untuk menganalisis varian berkenaan.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, varian yang sebelumnya dikenal pasti dari UK dan Afrika Selatan itu mudah menjangkiti namun reaksi mutasinya belum diketahui.

Sejak beberapa minggu, WHO sudah dimaklumkan oleh Jepun mengenai varian baharu ini. Lagi banyak penularan virus ini, lagi banyak peluang untuk virus ini berubah.

“Apa yang kita faham, jangkitan varian baharu ini meningkat. Ini akan mengakibatkan peningkatan kes dan kemasukan ke hospital turut meningkat yang memberi kesan kepada perkhidmatan kesihatan.

Ini yang berlaku apabila kesihatan awam dan pendekatan sosial semakin merosot. Ia akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan.

“Ketika ini varian ini tidak menunjukkan tahap kesan teruk kerana kaedah rawatan juga sedang diperkemaskan. Kita berharap lebih banyak nyawa boleh diselamatkan,” katanya.

Ketika banyak negara mula melancarkan program vaksinasi mereka – imuniti kelompok katanya mungkin tidak mampu dicapai tahun ini.

Ahad lalu, Kementerian Kesihatan Jepun mengesahkan sejenis varian baharu Covid-19 dikesan di negara itu pada empat orang yang dijangkiti, yang tiba dari Brazil.

Kajian sedang dijalankan ke atas varian baharu itu untuk menjejaki penularannya, simptom dan daya tahannya kepada vaksin.-AFP