Tiada kehadiran penonton

BERMULA Sabtu ini Liga Sri Aman akan berlangsung tanpa kehadiran penonton.

PERLAWANAN bola sepak Liga Sri Aman 2021 yang memasuki minggu ketiga, bermula Sabtu ini berlangsung tanpa kehadiran penonton.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA), Alfred Kendim berkata, keputusan diambil setelah mengambil kira nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Vahagian Sri Aman dan pihak penganjur perlu memastikan semua garis panduan yang ditetapkan dipatuhi.

Bagaimanapun, kata Alfred, semua baki perlawanan selepas ini akan berlangsung tanpa kehadiran penonton.

“Selepas mendapat nasihat serta merujuk kepada wakil Pejabat Residen Sri Aman yang telah menghadiri mesyuarat JPBNS peringkat negeri semalam, Liga Sri Aman akan diteruskan mengikut jadual yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Bagaimanapun, mereka yang membenarkan perlawanan itu dilangsungkan tanpa kehadiran penonton. Jika ada sebarang perubahan kita (FASA) akan maklumkan kemudian,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.

Alfred berkata saingan Liga Sri Aman yang telah memasuki minggu ketiga bermula Sabtu ini, perlawanan selepas ini hanya pengurusan pasukan, pemain, petugas FASA dan pengutip bola sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam Kompleks Sukan Sri Aman.

“Untuk perlawanan minggu ketiga dan minggu keempat, pihak FASA akan menutup pagar Kompleks Sukan Sri Aman bermula jam 8.30 pagi dan jam 3.45 petang bagi mengelak kehadiran penonton.  

“Selepas 26 Januari nanti, iaitu selepas tamatnya Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa zon di Sarawak, FASA akan membuat semula keputusan berkaitan kehadiran penonton,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan kepada pasukan-pasukan yang turun beraksi pada minggu ketiga dan keempat hendaklah mengikuti pematuhan operasi prosedur standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi bagi membantu barisan hadapan memutuskan rantaian penyebaran Covid-19.

“Kepada semua pasukan serta petugas lain yang terlibat secara langsung pada perlawanan Liga Sri Aman agar aspek pematuhan terhadap SOP diberikan keutamaan dengan menjalankan pemeriksaan suhu badan, penjarakan sosial dan memakai pelitup muka,” tegasnya lagi.

Oleh ADI SAFARMAN