Abang Jo lawat mangsa banjir

SANTUNI MANGSA BANJIR… Datuk Patinggi Abang Johari menyantuni Nurul Iman Abdullah, 39, bersama bayinya Nur Hidayah Ahmat, 8 bulan,yang mengalami masalah jantung berlubang sejak lahir di PPS Dewan Haji Kamaruddin, Kampung Segedup, Batu Kawa Kuching, semalam.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengadakan lawatan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Haji Kamaruddin Kampung Segedup, Batu Kawa, di sini semalam.

Menurut beliau, seramai 2,268 mangsa banjir yang terjejas ditempatkan di 30 PPS di sekitar kawasan daerah Kuching dan Bau.

“Setakat ini, Lundu masih dalam keadaan yang terkawal, manakala ada beberapa PPS sudah dibuka di sekitar Samarahan.

“Saya dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi, bahawa hujan lebat akan berterusan selama seminggu ini dan dalam pada itu kita berharap agar fenomena ‘King Tide’ akan reda dalam tempoh yang lebih awal.

“Oleh itu, saya menggesa rakyat agar tabah dan bersedia sekiranya diarahkan untuk berpindah, demi keselamatan mereka sendiri,” katanya.

Abang Johari turut menekankan bahawa keadaan banjir pada tahun ini lebih mencabar kerana seiring dengan pandemik Covid-19 yang masih bermaharajalela pada ketika ini.

Jelasnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memantau ketat bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi dan diamalkan di setiap PPS yang di seluruh negeri.

“Kita tidak mahu dalam keadaan banjir ini lebih memangkin kepada peningkatan Covid-19, oleh itu SOP mesti dijaga selalu.

“Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM) yang turut berada di dalam JPBNS akan sentiasa memantau keadaan di setiap PPS bersama pihak residen masing-masing, dan mereka berpandukan SOP yang ditetapkan.

“Keputusan untuk mengasingkan mangsa adalah tertakluk kepada mereka (JKM), sekiranya terpaksa, kita akan pisahkan mereka,” jelasnya lagi.

Oleh AKMAL ADIB YUSUP