OCBC jangka harga minyak mentah terus lemah

PETUNJUK pasaran niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat jatuh ke paras -AS$37 setong.

KUALA LUMPUR: OCBC Treasury Research berkata, ia menjangkakan harga minyak mentah terus didagangkan pada paras rendah sepanjang suku kedua tahun ini memandangkan keadaan pasaran yang masih tidak menentu.

Pada 20 April, petunjuk pasaran niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat jatuh ke paras -AS$37 setong, yang pertama dalam sejarah harga minyak.

OCBC berkata, bahawa ledakan minggu lalu dilihat sebagai hasil pengurusan yang lemah akibat ketidakmampuan AS Oil Fund (USO) untuk melaksanakan pindahan jumlah yang tinggi dari Mei hingga Jun dalam tempoh singkat seminggu.

Ia juga berikutan tekanan berterusan daripada pembeli fizikal AS, yang terlambat menyedari bahawa Cushing Hub kehabisan ruang penyimpanan, kata firma penyelidikan itu.

Bagaimanapun, OCBC percaya bahawa salah urus pasaran itu tidak mungkin berulang dalam jangka pendek.

“Walaupun kami menjangkakan harga akan kekal rendah, kami tidak melihat kewajaran ekonomi bagi petunjuk pasaran minyak mentah itu didagangkan pada harga negatif,” katanya dalam satu nota semalam.

OCBC menambah situasi di pasaran kekal sangat lemah dan tidak menentu, tanpa petunjuk yang jelas  bila permintaan akan kembali dan stok simpanan akan kehabisan pada akhir suku kedua 2020. – Bernama