AirAsia X catat faktor muatan penumpang 74 peratus

Jumlah penumpang yang dibawa juga merosot 25 peratus tahun ke tahun kepada 1.142 juta penumpang dalam tempoh sama.

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd mencatatkan faktor muatan penumpang sebanyak 74 peratus pada suku pertama 2020, susut sembilan mata peratusan (ppt) tahun ke tahun.

Dalam kenyataan semalam, syarikat penerbangan tambang rendah bagi perjalanan jarak jauh itu berkata, jumlah penumpang yang dibawa juga merosot 25 peratus tahun ke tahun kepada 1.142 juta penumpang dalam tempoh sama.

Ia berkata kapasiti tempat duduk tersedia mengikut kilometer (ASK) pula berkurangan 21 peratus tahun ke tahun kepada 6,874 juta.

“Penurunan ketara dari segi kapasiti tersedia dan penumpang yang dibawa adalah akibat kesan buruk pandemik Covid-19 yang menjejaskan permintaan terhadap perjalanan di seluruh dunia.

“Sebagai sebahagian strategi pengimbangan, syarikat telah mengurangkan kekerapan penerbangan di seluruh rangkaiannya dan menggantung sementara laluan tertentu,” menurutnya.

Pada Februari 2020, ketika Covid-19 mula menular, AirAsia X Malaysia melaksanakan pengurusan kapasiti untuk mengurangkan kekerapan penerbangan ke China memandangkan sekatan perjalanan diperketatkan dan permintaan merosot.

Justeru, pengurusan kapasiti telah dijalankan pada bulan berikutnya ke atas hampir 90 peratus rangkaian AirAsia X termasuk Australia, Jepun, Korea Selatan dan India.

Sebanyak empat laluan telah ditamatkan pada Mac iaitu Tianjin, Wuhan, Lanzhou dan Jaipur.

AirAsia X berkata dengan menguruskan kesan buruk akibat wabak itu secara proaktif dan mengawal kos operasi, pihaknya telah mengumumkan kesemua pesawat tidak dioperasikan buat sementara waktu selain menggantung semua operasi yang dijadualkan selama dua bulan berkuat kuasa 28 Mac 2020.

Jumlah pesawat AirAsia X Malaysia kekal pada 24 unit A330 setakat akhir Mac 2020.

Sementara itu, AirAsia X Thailand merekodkan faktor muatan penumpang sebanyak 77 peratus bagi suku pertama 2020, turun 13 ppts daripada angka yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Kapasiti ASK pula susut 22 peratus tahun ke tahun kepada 2,645 juta dan jumlah penumpang yang dibawa sebanyak 474,150 orang.

“Susulan penularan wabak Covid-19 dan seterusnya sekatan perjalanan dilaksanakan hampir di semua rantau, AirAsia X Thailand mengumumkan penggantungan semua operasi yang dijadualkan untuk tempoh tiga bulan berkuat kuasa 16 Mac, 2020.

“Jumlah pesawat AirAsia X Thailand kekal pada 14 unit A330 pada tempoh suku yang dinilai, menjadikan jumlah pesawat AirAsia X Group sebanyak 40 unit A330 pada akhir suku pertama 2020, termasuk dua pesawat berada dengan AirAsia X Indonesia, yang masih dalam penggantungan,” menurut AirAsia X.- Bernama