Tiada hukuman dua darjat langgar PKP

MENTERI KANAN (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra semalam. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Tiada istilah hukuman dua darjat bagi mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa bersikap adil kepada semua dan tindakan undang-undang yang diambil adalah mengikut tuduhan yang dikenakan.

“Tiada siapa yang mengatasi undang-undang negara kita. Kerajaan bersikap adil kepada semua, sesiapa yang langgar undang-undang akan diambil tindakan tanpa kira sebarang kedudukan.

“Contohnya (isu denda) exco Perak dan Timbalan Menteri Kesihatan, mereka didenda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah peraturan PKP, ” katanya dalam sidang media berkaitan PKP semalam.

Katanya, kedua-dua orang kenamaan itu dikenakan denda kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial semasa menjalankan tugas dan memberi bantuan kepada rakyat.

Jelas Ismail Sabri lagi, mereka yang dikenakan hukuman penjara bukan kerana kesalahan melanggar PKP semata-mata, namun turut melakukan kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan.

“Bukan kerana dua darjat. (Mereka didenda) kerana kesalahan dari segi penjarakan sosial. Namun, tindakan mereka di bawah Akta 342 sahaja yang hukumannya denda maksimum RM1,000.

“Yang ditangkap dan dipenjarakan adalah kerana menghalang tugas penjawat awam seperti bergaduh dan berlawan dengan polis, jadi bermakna yang dipenjara adalah kerana kesalahan lain yang melibatkan Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA