LEBIH 70 ‘JALAN TIKUS’… Di sempadan Sarawak, Kalimantan

PENERANGAN… Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, Jeneral Datuk Azha, Komander PPA SAC Mancha dan Datuk Safri ketika melawat Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Telok Melano dan Biawak, di Lundu semalam.

LUNDU: Tidak kurang daripada 70 ‘jalan tikus’ di sepanjang sempadan Sarawak, Malaysia dan Kalimantan, Indonesia bermula dari Telok Melano terus ke Lawas.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing menegaskan, ini menjadi faktor utama yang menyebabkan pihak berkuasa berdepan kesukaran untuk mengawal dan memantau sepanjang sempadan tersebut.

“Ia adalah cabaran besar untuk kita menutup (mengawal dan memantau) sempadan dengan Kalimantan,” katanya.

Masing berkata demikian ketika Melawat Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Telok Melano dan Biawak, semalam.

Sehubungan itu katanya beliau mencadangkan agar sempadan terbabit ditutup atau dipagar di kawasan strategik di sepanjang 1,032 kilometer sempadan antara Sarawak dan Kalimantan.

“Ia bunyinya begitu luas, tetapi ia adalah perlu jika kita ingin mengelak dari PATI (pendatang tanpa izin) memasuki ke negara kita,” katanya.

Menurut Masing lagi, kerja pembinaan pagar atau tembok di sepanjang sempadan ini memerlukan bantuan Kerajaan Persekutuan.

Lagipun ia bukan hanya untuk melindungi sempadan Sarawak tetapi tanah Malaysia pada keseluruhannya, jelas beliau.

 “Oleh itu, kita mencadangkan supaya membina jalan sempadan sepanjang 1,032km dengan jumlah kos sebanyak RM24 billion,” katanya.

Oleh CONNIE CHIENG