Borneo Empurau Farm dapat pensijilan MyGAP

TAHNIAH… Bohari Leng menyerahkan Sijil MyGAP kepada pemilik Syarikat Borneo Empurau Farm Sdn Bhd, Dato Yong Fook Heng.

SERIAN: Syarikat Borneo Empurau Farm Sdn Bhd telah menjadi hatceri yang pertama mendapat pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) di Sarawak.

Pengarah Perikanan Laut Sarawak, Borhari Leng berkata, pensijilan ini adalah simbol pengiktirafan kepada syarikat itu yang mengusahakan penternakan ikan air tawar, iaitu ikan empurau.

“Pensijilan MyGAP hanya akan diberikan kepada mana-mana syarikat yang memohon dan berjaya mempraktikkan aspek biosekuriti iaitu Amalan Akuakultur Baik (GAgP) mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Pensijilan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia melalui Cawangan Biosekuriti Perikanan ini bertujuan untuk membantu pengusaha yang menjalankan bidang akuakultur bersaing di pasaran yang lebih besar.

“Maka, pensijilan ini adalah bukti bahawa produk yang dikeluarkan oleh syarikat ini terjamin dari segi kualiti dan selamat untuk dimakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Sijil MyGAP Syarikat Borneo Empurau Farm Sdn Bhd di Borneo Empurau Farm & Resort, di sini semalam.

Menurut beliau, pensijilan ini turut mengambil kira kebajikan pekerja termasuk kesihatan dan memastikan pekerja bebas daripada penyakit yang boleh membawa pencemaran kepada produk perikanan tersebut.

“Syarikat ini telah berjaya menepati setiap piawaian prinsip asas Biosekuriti Perikanan termasuk prosedur pengurusan yang baik, bersih dan terkawal, sistem pemantauan terhadap benih dan kesihatan ikan yang baik serta pengurusan penggunaan bahan kimia yang terkawal.

“Ini turut membuktikan bahawa produk syarikat ini mampu untuk bersaing bahkan menembusi pasaran eksport import negara tempatan malahan antarabangsa,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Bohari turut menggesa para penternak lain untuk mendapatkan pensijilan MyGAP ini bagi memenuhi kriteria negara pengimport yang menginginkan jaminan kualiti produk yang tinggi.

Untuk rekod, sebanyak 28 premis akuakultur di Sarawak telah dipersijilkan MyGAP, yang mana empat daripadanya adalah ladang, 19 sangkar manakala lima adalah hatceri, termasuk syarikat ini.

Oleh AKMAL ADIB YUSUP