Tunggu penjelasan lanjut

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai peruntukan RM130 juta kepada semua negeri oleh kerajaan persekutuan.

Peruntukan tersebut telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai inisiatif dalam memberi bantuan kepada kerajaan negeri untuk menangani saat sukar akibat pandemik Covid-19.

Abang Johari berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan Pusat di Putrajaya terlebih dahulu sama ada peruntukan itu merangkumi seluruh negeri atau bagaimana.

“Jika RM130 juta itu diagihkan kepada setiap negeri di Malaysia, peruntukan itu mungkin tidak seberapa banyak.

“Namun kita tetap bersyukur kerajaan persekutuan turut memberikan peruntukan kepada kerajaan negeri,” katanya pada Sidang Media Khas Covid-19 -Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang di Wisma Bapa Malaysia semalam.

Muhyiddin pula telah mengumumkan kerajaan telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM130 juta kepada negeri-negeri untuk membantu kerajaan negeri menangani krisis Covid-19.

Katanya, peruntukan tersebut boleh digunakan untuk memberi bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat krisis Covid-19, bantuan kepada pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka serta menyediakan keperluan kepada petugas di peringkat kerajaan negeri yang terlibat dalam menangani krisis itu.

“Peruntukan sama rata akan diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan.

“Krisis yang sedang kita hadapi ini memberi kesan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan politik. Sebab itulah saya berpandangan semua pihak tanpa mengira fahaman politik mestilah bersama-sama berganding bahu dan bersatupadu untuk menangani krisis yang sedang kita hadapi ini. “Menjaga keselamatan rakyat, kesihatan rakyat dan nyawa rakyat adalah tanggungjawab kita bersama yang melangkaui batas politik,” katanya.